Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mesti menyediakan sebuah dewan besar untuk menempatkan ratusan jika tidak ribuan majikan atau wakil mereka yang akan menghadiri mesyuarat antara beliau, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan dan saya pada 5 Oktober 2022. Saya telah mendapat sokongan besar daripada majikan-majikan dan mereka bersedia menjadi saksi-saksi kepada pelbagai kelemahan dalam Kementerian Sumber Manusia apabila Datuk Seri M. Saravanan mencabar saya dan Lim Guan Eng untuk membuktikan kelemahan- kelemahan dalam kementeriannya.
Walaubagaimanapun, ramai daripada mereka berasa ragu-ragu jika mereka akan datang pada hari tersebut untuk mendengar satu lagi pembohongan Datuk Seri M. Saravanan.
Untuk Datuk Seri M. Saravanan menunjukkan keikhlasan dalam cabarannya tersebut, beliau hendaklah menjanjikan 2 perkara berikut:
- Meluluskan serta merta permohonan yang dibuat oleh majikan-majikan untuk kuota pekerja asing yang mereka layak perolehi tetapi gagal mendapatnya kerana kelemahan Kementerian Sumber Manusia.
- Beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri seperti yang dijanjikan apabila kelemahan-kelemahan dalam kementeriannya telah terbukti.
Datuk Seri M. Saravanan terkenal dengan pembohongan tanpa segan silu.
Pada 29 Julai 2022 kementeriannya mengumumkan bahawa mulai 1 Ogos 2022 temuduga bagi permohonan kuota pekerja asing akan dijalankan di pejabat Kementerian Sumber Manusia di negeri masing-masing dan bagi Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan temuduga akan dijalankan di Putrajaya. . Temuduga di negeri masing-masing telah dijalankan hanya seketika sahaja tetapi dihentikan tanpa notis kepada orang ramai dan temuduga sekali lagi hanya boleh dilakukan di pejabat kementeriannya di Putrajaya menyebabkan kesulitan besar kepada majikan-majikan. Majikan dari negeri-negeri yang jauh perlu menempuh perjalanan berjam-jam ke Putrajaya untuk temuduga yang tidak perlu itu kerana tiada perkara baharu yang diminta yang tidak tergandung dalam dokumen-dokumen permohonan dan selalunya atas perkara kecil majikan perlu berulang kali ke pejabat Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya untuk menguruskan permohonan mereka.
Pada 26 Julai 2022, beliau turut berbohong secara terang-terangan di Parlimen bahawa permohonan kuota pekerja asing boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu melalui ejen.
Saya telah membuktikan kepada beliau bahawa adalah mustahil untuk majikan mendapat kelulusan kuota pekerja asing berikutan pelbagai halangan di Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri tanpa melalui ejen yang mempunyai hubungan dalaman di kementerian-kementerian tersebut dan sesetengah orang dalam kementeriannya mengutip RM1500-00 untuk setiap pekerja asing sebelum tarikh temuduga diberikan. Aduan-aduan tentang majikan perlu membayar untuk mendapatkan tarikh temuduga turut dilaporkan dalam akhbar The Star pada 5 Ogos 2022 (Jumaat).
Beliau juga berbohong apabila mengatakan bahawa saya membawa isu ini untuk kepentingan diri sendiri sedangkan masalah ini merupakan satu masalah yang begitu meluas. Sebagai seorang ahli Parlimen, saya perlu membangkitkan isu ini apabila majikan-majikan membawa isu ini kepada perhatian saya.
Berita semalam melaporkan bahawa kerajaan sekarang perlu mengatur secara Kerajaan dengan Kerajaan (Government to Government) untuk membawa masuk 10,000 pekerja Bangladesh. Ini menunjukkan kegagalan Datuk Seri M Saravanan dalam tugasnya untuk membawa masuk pekerja-pekerja Bangladesh selepas beberapa bulan cuba membawa mereka masuk melalui agensi swasta.
Saya menyeru kepada Datuk Seri M. Saravanan untuk mengeluarkan 2 janji-janji di atas dengan segera untuk memberi kepercayaan kepada majikan-majikan yang akan hadir di mesyuarat pada 5 Oktober 2022 kerana kredibiliti beliau diragui. Kita mahu memastikan mesyuarat 5 Oktober 2022 adalah satu mesyuarat untuk membuktikan kelemahan-kelemahan dalam kementerian dan untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri dan bukannya untuk mendengar satu lagi pembohongan daripada beliau.