Skip to content

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan perlu memberi butiran berhubung pengumuman Kementeriannya bahawa ia telah memberi kelulusan kepada 541,315 pekerja asing

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada 1 Oktober 2022 (Sabtu), ia mengumumkan bahawa ia telah memberi kelulusan untuk 541,315 pekerja asing sehingga 26 September 2022 di mana 436,613 daripadanya telah membayar levi.

Pengumuman itu mengejutkan kerana majikan-majikan daripada pelbagai sektor mengadu tentang keadaan kekurangan pekerja yang amat teruk sekali . Saya menyeru Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan untuk menyatakan tempoh kelulusan-kelulusan ini diberikan, bagaimana ia diberikan dan jika ia mengikut proses permohonan biasa. Adakah permohonan-permohonan ini diberikan layanan istimewa kerana majikan mengenali Menteri atau melalui ejen yang mempunyai hubungan dalaman dan di mana bayaran tambahan dibuat? Ini kerana ramai majikan mengadu bahawa mustahil untuk mereka mendapat kelulusan kuota pekerja asing berikutan pelbagai halangan di dalam Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri tanpa bantuan ejen yang mempunyai hubungan dalaman di dalam Kementerian-Kementerian tersebut dan wang tambahan perlu dibayar untuk mendapatkan kelulusan.

Datuk Seri M. Saravanan sehingga hari ini tidak menafikan bahawa beberapa orang di dalam Kementeriannya telah mengutip RM1,500.00 setiap pekerja asing atau sejumlah wang lain sebelum tarikh temuduga diberikan. Aduan majikan-majikan perlu membayar untuk mendapatkan tarikh temuduga turut dilaporkan dalam akhbar The Star pada 5 Ogos 2022 (Jumaat).

Adakah kenyataan media Kementerian Sumber Manusia di atas hanyalah satu lagi pembohongan daripada Datuk Seri M. Saravanan?

Beliau telah dibuktikan telah berbohong pada insiden- insiden berikut:

  1. Telah diumumkan bahawa laman web Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) https://fwcms.com.my akan digunakan untuk permohonan rekalibrasi / pemutihan pekerja asing tanpa izin bermula 1 Julai 2021. Majikan-majikan yang mencuba menggunakan laman web ini mendapati ia tidak berfungsi. Pada Oktober 2021, saya telah menerima jawapan bertulis parlimen yang mengesahkan bahawa laman web ini tidak berfungsi.
  2. Pada 26 Julai 2022, beliau berkata di Dewan Rakyat bahawa permohonan kuota pekerja asing boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu melalui ejen. Ia terbukti tidak benar. Majikan-majikan perlu melalui ejen yang mempunyai hubungan dalaman dan wang tambahan perlu dibayar untuk mendapat kelulusan.
  3. Pada 29 Julai 2022, Kementeriannya mengumumkan mulai 1 Ogos 2022, temuduga bagi permohonan kuota pekerja asing akan dijalankan di pejabat Kementerian Sumber Manusia di negeri masing-masing dan bagi Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan temuduga akan dijalankan di pejabat Kementerian di Putrajaya. Ia beroperasi hanya untuk beberapa hari dan berhenti tanpa notis kepada orang ramai. Temuduga sekali lagi hanya dijalankan di pejabat Kementerian Putrajaya yang sangat menyusahkan majikan terutamanya mereka yang datang dari negeri-negeri yang jauh.
  4. Beliau berbohong apabila beliau mengatakan bahawa saya membawa isu mengenai kesukaran mendapatkan kelulusan kuota pekerja asing untuk kepentingan peribadi apabila masalah itu bagitu berleluasa dan majikan-majikan dari seluruh negara merungut mengenai isu ini.