Skip to content

Menteri Zuraida Kamaruddin tidak perlu melontarkan fitnah merata tempat, mempersalahkan pihak lain untuk menutup kelemahan dan kesilapan dirinya sendiri

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah semalam menuduh bahawa rundingan terus 2 projek di bawah kementeriannya telah dijalankan oleh mantan Menteri Kewangan sendiri, Lim Guan Eng.

Untuk kenyataan ini, saya ingin merujuk kepada Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Kewangan Dan Perakaunan Saga yang ditawarkan kepada Century Software (M) Sdn Bhd dengan harga RM501,206.

Saya ingin menegaskan bahawa Lim tak pernah menjalankan sebarang rundingan dengan syarikat Century Software sendiri, seperti yang difitnah oleh Menteri KPKT. Lim juga tidak pernah mempersoalkan, atau menyebut bahawa mana-mana pihak melakukan kesalahan dalam tawaran kontrak ini.

Kontrak ini telah disenaraikan di bawah projek-projek yang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional yang berjumlah RM1.753 bilion, yang telah ditawarkan semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Yang membangkitkan perkara ini adalah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan seterusnya dipersoalkan oleh pimpinan Bersatu, UMNO dan Barisan Nasional, termasuk Menteri KPKT Zuraida sendiri. Apabila Menteri Kewangan mendedahkan bahawa kononnya kerajaan PH telah menawarkan kononnya RM6.6 bilion kontrak melalui rundingan terus, mereka telah cuba mencemarkan pentadbiran PH sebagai tidak telus, tidak berintegriti dan memungkiri janji.

Jika Zuraida benar-benar membuat siasatan yang telus dan menyeluruh, beliau akan menemui Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 3 (2018) yang menetapkan keperluan mematuhi piawaian perakaunan kerajaan melalui sistem SAGA.[1]

Pekeliling ini menyatakan secara jelas bahawa melalui Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2011, Kerajaan telah bersetuju supaya sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang menepati piawaian yang ditetapkan, digunakan oleh Agensi Kerajaan.

Pada tahun 2012, pelaksanaan SAGA telah diserahkan oleh MAMPU kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia. Tatacara pelaksanaan dan pematuhan SAGA seterusnya muladikeluarkan melalui Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 6 Tahun 2014.

Oleh sebab itu, saya ingin menasihatkan supaya Zuraida tidak melontarkan fitnah merata tempat dan cuba mengaitkan mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada sebarang rundingan terus kementerian beliau. Saya rasa sikap tidak bertanggungjawab Zuraida yang mempersalahkan orang lain untuk salah pengurusan dalam kementeriannya sendiri jelas bersifat seseorang yang termakan cili.