Skip to content

Perutusan Hari Kebangsaan ke-63 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang pada 30 Ogos 2020

Esok, genap 63 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Tiada acara ‘wajib’ seperti upacara perbarisan dan sambutan gilang-gemilang yang melambangkan semaraknya sambutan kemerdekaan menjelang 31 Ogos seperti kelaziman sebelum ini. Mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang telah memutuskan untuk membatalkan upacara perarakan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.

Terikat dengan pembudayaan normal baharu, sisi positif harus diambil sepanjang melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. Penularan wabak COVID-19 telah memberi iktibar serta teladan yang cukup tinggi kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Keprihatinan dan kerjasama yang telah diberikan secara kumulatif oleh semua telah membantu serta memudahkan tugas para petugas barisan hadapan (frontliners), sesuai dengan pemilihan tema sambutan tahun ini ‘Malaysia Prihatin’.

Ketika Pulau Pinang mencatatkan beberapa kes baharu selepas 91 hari memegang rekod sebagai negeri zon Hijau, kita dapat menyaksikan tahap kepatuhan rakyat terhadap setiap arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah sangat tinggi. Malah, apa yang membanggakan adalah seluruh rakyat di negeri ini menerima setiap garis panduan yang telah ditetapkan dan memberikan kerjasama yang cukup baik demi memelihara kemaslahatan bersama. Serentak itu, Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada sebuah keluarga dari Nibong Tebal yang menunjukkan sikap prihatin dengan memulakan ‘misi pembersihan’ secara sukarela, mengutip pelitup muka terpakai yang dibuang oleh individu yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya.

Seiring dengan semangat merdeka, konteks kemerdekaan harus dilihat secara menyeluruh dan bukannya sekadar menandakan permulaan suatu pembebasan daripada penjajahan semata-mata. Malah, sejajar dengan revolusi dunia, jalinan semua nilai-nilai murni menjadi kunci dan asas terhadap pembangunan negara dalam membentuk kemakmuran, keharmonian, hormat-menghormati serta bertolak-ansur dengan meraikan perbezaan dalam sesebuah perhubungan yang utuh dan harmoni. Keyakinan ini adalah penting dalam membantu Kerajaan Negeri untuk memberikan komitmen dan terus mara ke hadapan bagi merealisasikan Visi Penang2030 yang digagaskan sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Menelusuri perjalanan dalam tempoh 10 tahun akan datang, segala projek mega yang diinspirasikan bagi pembangunan masa depan Negeri Pulau Pinang khususnya Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) berada di landasan yang betul. Pengumuman pemenang pertandingan Master Design Competition (MDC) bagi Penang South Islands (PSI) pada 19 Ogos lalu telah membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah mentransformasikan negeri ini di persada antarabangsa dengan memperkasakan enjin ekonomi demi penambahbaikan kebolehidupan, penjanaan peluang ekonomi baru, pemerkasaan rakyat dan kelestarian alam sekitar secara menyeluruh. Malah, projek ini juga dilihat sebagai pendekatan Transformasi Ekonomi Pulau Pinang bagi tempoh 50 tahun akan datang khususnya untuk mewujudkan hab perkhidmatan serta pembuatan antarabangsa yang lebih mantap serta pintar.

Dalam merealisasikan usaha ini, penglibatan seluruh rakyat Pulau Pinang secara “whole-of-society effort” dan kesepakatan semua menjadi aset utama. Ini terbukti apabila kita berjaya muncul sebagai negeri yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat kini. Lebih membanggakan apabila Pulau Pinang mendahului lain-lain negeri di Malaysia sebagai negeri utama yang berjaya menarik pelaburan asing langsung (FDI) pada suku tahun pertama 2020 dengan jumlah RM6.8 bilion.

Bukan hanya pada penekanan aspek pembangunan ekonomi, tanpa kesepakatan, keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat, sudah pasti tiada satu kerajaan pun di dunia ini yang mampu menangani krisis kesihatan COVID-19. Kita mesti memupuk semangat #kitajagakita dalam membina solidariti bersama. Justeru, dalam menempuh tempoh pasca COVID-19, Kerajaan Negeri sehingga Ogos 2020 telah mengumumkan tiga (3) Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang keseluruhannya berjumlah RM155.5 juta khusus kepada golongan rakyat terkesan meliputi pelbagai sektor industri di negeri ini.

Dalam tempoh mencabar ini, Kerajaan Negeri tetap komited dan menyahut cabaran untuk terus mengorak langkah bagi mendepani masa depan pasca COVID-19. Ini termasuk kepelbagaian inisiatif dalam menarik pelaburan baru serta pelaburan sedia ada ke negeri ini. Di samping itu, dalam kita membuka semula pintu negeri untuk sektor pelancongan, sama-samalah kita bertungkus-lumus dan mengambil apa jua tindakan dalam memastikan penularan wabak ini tidak merebak secara meluas khasnya di negeri tercinta kita.

Terus amalkan amalan 4P iaitu Penjarakan fizikal; Pemakaian wajib pelitup muka; Pencucian tangan dengan sabun dan Perhatikan gejala COVID-19 di sekeliling. Marilah jadikan negeri Pulau Pinang sebagai simbol perpaduan kebangsaan.

Ayuh! Kibarkan Jalur Gemilang bagi sama-sama menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah tumpahnya darah kita. Kitalah anak Malaysia; Selamat Menyambut Hari Kebangsaan.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!