Keputusan Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR) untuk menyekat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dari memantau Pilihanraya Umum ke-14 adalah tidak berasas, Tidak dapat diterima dan melampau.
Saya ingin memperingati SPR bahawa terdapat pencabulan hak asasi manusia yang serius pada pilihanraya umum ke-13. K. Murugan, pembantu keselamatan kepada calon PKR di Tapah telah hilang dan dibunuh ketika kempen pilihanraya, mayatnya dijumpai pada 5hb Mei 2013. Maka, peranan SUHAKAM adalah penting untuk mencegah keganasan dan pencabulan hak asasi manusia dalam pilihanraya.
SUHAKAM bukan sahaja merupakan badan berdaftar di Malaysia, malah merupakan badan berkanun, yang ditubuhkan di bawah Akta SUHAKAM 1999. Pesuruhjaya-pesuruhjaya mereka adalah dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong, sepertimana ahli Suruhanjaya Pilihanraya itu sendiri.
SUHAKAM bukan sahaja dikenali di Malaysia, malah diiktiraf secara antarabangsa oleh, antaranya, ICC dan Forum Asia Pasifik.
Adalah amat pelik yang Suruhanjaya Pilihanraya membolehkan Indonesia, Maldives, Timor Leste, Kemboja, Krygzystan dan Azerbaijan sebagai pemantau. Dari senarai ini, 6 negara sebenarnya mempunyai rekod demokrasi yang lebih teruk dati Malaysia, dan 3 daripadanya disenaraikan sebagai rejim autoritatif.
Jika Pilihanraya Malaysia sememangnya bebas dan adil sepertimana didakwa SPR, mereka seharusnya tidak takut untuk membenarkan mana-mana pemerhati, sama ada tempatan mahupun antarabngsa untuk memantau pilihanraya, seperti Jaringan Asia Untuk Pilihanraya Bebas (ANFREL) mahupun Carter Research.
Saya meminta SPR bukan sahaja membenarkan SUHAKAM, tetapi mana-mana pemerhati untuk memantau pilihanraya akan dating, dan menjalankan amanah mereka untuk mengadakan pilihanraya yang bebas dan adil untuk Malaysia.