Skip to content

Menyeru MCA untuk letak jawatan serta merta di dalam kabinet dan juga Kerajaan Persekutuan dan menumpukan sepenuh masa di dalam perniagaan menjual vaksin dan mengaut keuntungan ke atas kesengsaraan rakyat

Merujuk kepada kenyataan MCA Pulau Pinang yang memohon Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan bekalan vaksin Sinovac yang dijual oleh Pharmaniaga Bhd., ia telah menimbulkan agenda parti MCA sebagai salah sebuah parti pemerintah untuk lari daripada tanggungjawab untuk memastikan bekalan vaksin yang percuma dapat disampaikan kepada semua rakyat Malaysia, termasuk rakyat Pulau Pinang.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemimpin-pemimpin MCA yang cuba untuk menjadi wakil penjualan (salesperson) bagi pihak Pharmaniaga Bhd., yang merupakan pembekal tunggal bagi vaksin Sinovac di Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat dua persoalan yang utama yang ingin ditujukan kepada MCA Pulau Pinang sebagai wakil penjualan ke atas vaksin COVID-19 tersebut, antaranya adalah seperti berikut:

(i) Adakah kesemua rakyat Malaysia khasnya warga Pulau Pinang yang berdaftar dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah menerima suntikan dua dos vaksin?

Menurut statistik terkini pada 25 Julai 2021, sejumlah 1.2 juta warga Pulau Pinang telah berdaftar dengan JKJAV manakala seramai 632,339 warga Pulau Pinang, iaitu hampir separuh sahaja daripada yang mendaftar telah menerima suntikan dos pertama.

Merujuk kepada situasi terkini, mengapa MCA tergesa-gesa hendak menjadi wakil penjualan untuk menukarkan bekalan vaksin yang sepatutnya dijanjikan kepada rakyat bagi mengaut keuntungan? Adakah ini peranan yang wajar MCA sebagai salah sebuah parti pemerintah untuk mengaut keuntungan ketika rakyat jelata sengsara seakibat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang gagal sama sekali?

(ii) Apakah harga penjualan vaksin Sinovac yang ditetapkan oleh Pharmaniaga Bhd.? Berapakah jumlah bekalan yang dapat disampaikan dan waktu penyampaian bekalan vaksin tersebut?

Selepas pengumuman Timbalan Perdana Menteri berhubung dengan penjualan vaksin Sinovac oleh Pharmaniaga Bhd., setakat kini harga penjualan bagi vaksin tersebut masih belum dimuktamadkan. Kita masih tidak mempunyai sebarang maklumat terperinci khasnya berhubung dengan tarikh penyampaian bekalan vaksin tersebut.

Apakah pandangan para wakil penjualan yang cuba untuk menjualkan sesuatu produk tanpa harga atau garis masa produk tersebut dapat disampaikan? Adakah ini sebahagian agenda MCA sebagai salah sebuah parti pemerintah juga?

MCA seharusnya sedar bahawa pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang kini diterajui mereka telah gagal di dalam menangani pandemik COVID-19 ini. Rakyat terpaksa mengharungi perintah kawalan pergerakan berkali-kali dan proklamasi darurat yang kononnya dapat mengawal penularan COVID-19, hanya disambut dengan berita kes positif yang mencecah lima angka berturut-turut untuk dua minggu (14 hari) sejak 13 Julai 2021.

Sekiranya kesengsaraan rakyat hanya dilihatkan sebagai peluang untuk mengaut keuntungan menerusi penjualan bekalan vaksin, saya ingin menyeru MCA untuk letak jawatan serta merta di dalam kabinet dan juga Kerajaan Persekutuan dan menumpukan sepenuh masa di dalam perniagaan menjual vaksin dan mengaut keuntungan ke atas kesengsaraan rakyat.