Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan kepada Kerajaan supaya menetapkan harga siling bagi pemvaksinan Covid-19 apabila vaksin Sinovac dijual kepada rakyat.
Penetapan harga siling berkenaan yang meliputi harga vaksin oleh Pharmaniaga serta kos yang dikenakan oleh klinik atau hospital swasta adalah
amat perlu supaya harga pemvaksinan adalah pada tahap wajar dan tidak membebankan Rakyat.
Jawatankuasa mengambil maklum bahawa Kerajaan akan membenarkan penjualan vaksin Covid-19 di pasaran terbuka bermula pada Ogos depan dan adalah penting supaya harga siling untuk pemvaksinan berkenaan ditetapkan dan diumumkan kepada rakyat dengan segera.
Jawatankuasa ini juga mengambil maklum harga untuk pemvaksinan Covid-19 sudah mula dipromosikan dan harga yang ditetapkan adalah tinggi berbanding dengan harga yang sepatutnya.
Berhubung mengenai prosiding Perolehan Vaksin Covid-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin telah hadir di hadapan Jawatankuasa ini untuk kali kedua pada hari ini.
Prosiding berkenaan bermula pada jam 1030 pagi dan berakhir pada jam 1 petang, turut dihadiri YBhg Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha
(KSU) MOSTI dan Dr Mohd Noor Azman Hassan, Timbalan KSU (Pembangunan Teknologi) MOSTI.
PAC akan meneruskan prosiding berhubung isu ini pada hari esok, 28 Julai 2021 dengan memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Manakala pada minggu hadapan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan hadir di hadapan PAC bagi memberikan keterangan berhubung prosiding yang sama.