Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Mesyuarat Sesi Libat Urus Penyelarasan Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebentar tadi menyambut baik beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Antaranya adalah penyeragaman data i-Sejahtera di bawah seliaan Kerajaan Negeri dengan pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi kepentingan golongan warga emas dan berisiko. Juga memperoleh perhatian adalah penglibatan klinik-klinik serta pengamal perubatan swasta untuk turut serta dalam proses pelaksanaan imunisasi khususnya secara bergerak (mobile) yang mana pihak MOSTI akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung garis panduannya kelak.
Serentak itu juga, YB Menteri turut menzahirkan ucapan tahniah serta berterima kasih atas komitmen dan usaha Kerajaan Negeri dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sehingga kini termasuk penubuhan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau COVID-19 Immunisation Taskforce (CITF) Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Pada mesyuarat yang diadakan secara sidang video itu juga, YB Menteri telah memberikan komitmen terhadap permohonan Kerajaan Negeri menerusi surat bertarikh 26 Februari 2021 dan beberapa perkara yang turut diutarakan, iaitu:-
- Keperluan peralatan dan kewangan membabitkan 14 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi kelima-lima daerah berhubung pelaksanaan proses imunisasi Fasa 2 kepada kumpulan berisiko tinggi dan Fasa 3 di fasiliti bukan kerajaan;
- Penglibatan dan mengambil kira akan keperluan sukarelawan bukan perubatan termasuk pada aspek logistik dan pengurusan sumber manusia;
- Perbincangan serta jalinan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk membabitkan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum terhadap pelaksanaan dalam kalangan pekerja asing tidak berdaftar;
- Mengalu-alukan maklum balas dan idea daripada CITF Negeri Pulau Pinang dari semasa ke semasa termasuk keperluan peruntukan sekiranya perlu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. Asmayani Khalib; Timbalan Ketua Polis Negeri, Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam pada itu turut dimaklumkan bahawa lima kaedah pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bakal diaktifkan oleh MOSTI dalam tempoh terdekat adalah meliputi aplikasi MySejahtera; laman web, www.vaksincovid.gov.my; talian hotline; pendaftaran secara bersemuka di pejabat-pejabat kesihatan daerah dan juga program ‘outreach’ bagi memenuhi keperluan mereka yang berada di kawasan terpencil serta tidak mempunyai capaian.
Mengambil peluang ini, saya menyeru semua rakyat Pulau Pinang supaya bersama-sama menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi membolehkan kita betul-betul memutuskan rantaian pandemik COVID-19 demi kepentingan kesihatan awam dan juga pembangunan ekonomi negeri Pulau Pinang secara menyeluruh.
Penang Lawan COVID-19!