Skip to content

Persidangan Dewan Negeri Johor perlu diadakan selepas ADUN menjalani vaksin

Saya mendesak Kerajaan Negeri agar persidangan dewan negeri Johor diadakan secepat mungkin. ADUN dan ketua jabatan telah pun selesai menjalani Vaksin dalam fasa pertama. Ini bermaksud hampir 100% imunisasi di dalam dewan, dengan ini sidang harus diadakan Semula mengikut SOP dan ikut jadual sidang dewan yang ditetapkan.

Tambahan pula, memandangkan semua bidang dan sektor termasuk sekolah Rendah pun telah kembali ke sekolah. Tiada Lagi Alasan bagi ADUN yang Sudah vaksin tidak Boleh bersidang.

Rakyat Malaysia sudah terseksa akibat penularan Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu. Pandemik ini telah memberi impak yang besar kepada pelbagai sektor dan industri. Ekonomi negara dijangka akan merosot lagi jika keadaan ini berterusan.

Covid-19 juga memberi impak yang buruk kepada rakyat terutamanya di Johor Bahru, dimana banyak keluarga terpaksa berpisah sejak penutupan sempadan pada 18 Mac lalu. Ramai juga tidak dapat berulang-alik antara Malaysia dan Singapura.

Difahamkan ada di kalangan masyarakat yang menolak vaksin ini. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kami bertanggungjawab untuk mendidik serta memberi maklumat yang tepat bagi memberi keyakinan kepada masyarakat untuk mendapatkan vaksin.

Saya rasa lega atas permulaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Kita perlu mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin sebelum masyarakat boleh kembali seperti biasa. Saya menyeru penduduk menjalankan pendaftaran secepat mungkin.