Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar Dato Seri Mohd Azmin Ali atas kejayaan memberi bonus raya 2 bulan kepada lebih 17,000 penjawat awam kerajaan negeri tersebut.
Saya juga mengucap tahniah kepada kerajaan Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang memberi bonus raya 0.75 bulan atau minima RM1,000 kepada lebih 4,000 orang penjawat kerajaan negeri tersebut.
Pemberian bonus oleh 2 kerajaan negeri Pakatan Harapan membuktikan dengan urus tadbir yang baik dan amalan penuh berintegriti, kedudukan kewangan Pulau Pinang dan Selangor kini mendahului negeri-negeri lain.
Rizab Pulau Pinang dan Selangor tambah berkali ganda
Pulau Pinang kini mempunyai rizab RM1.6 billion, satu peningkatan lebih 2 kali ganda sejak Pakatan mengambil alih pemerintahan negeri itu sejak 2008. Sementara itu, Selangor mempunyai rizab hampir RM4 billion, satu peningkatan lebih 6 kali ganda, kedua-duanya boleh disifatkan sebagai pencapaian yang amat cemerlang.
Malahan kerajaan Pulau Pinang kini adalah negeri yang mempunyai paling sikit hutang. Kerajaan Pulau Pinang telah berjaya membayar 90% hutang kepada kerajaan Persekutuan yang dulu ditinggalkan oleh kerajaan BN dahulu sebanyak RM600 juta.
Perak disaran mengikut teladan baik negeri Pakatan Harapan
Saya berasa sedih negeri Perak dibawah pemerintahan BN kini telah merosot menjadi negeri kedua paling miskin, malahan lebih 81% pendapatan purata keluarga dalam negeri ini adalah kurang dari paras purata kebangsaan.
Jabatan Statistik Jabatan Perdana Menteri juga mengesahkan Perak kini mempunyai jumlah keluarga berpendapatan rendah yang paling ramai di seluruh negara, dimana 122,000 buah keluarga mempunyai pendapatan bulanan kurang dari RM2,380.00. Keadaannya amat menyedihkan.
Memandangkan rakyat kini dibeban dengan pelbagai cukai, DAP minta Menteri Besar Perak, Dato Seri Zambry Abdul Kadir mengikut contoh kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, memberi bonus raya kepada penjawat awam dalam negeri ini supaya membantu umat Islam meringankan beban menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.