Skip to content

Mesej Pesta Kaamatan dan Hari Gawai daripada Setiausaha Agung DAP dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng

Hari Tuaian Bertuah Yang Baharu Untuk Sabah dan Sarawak

Saya mewakili DAP mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Selamat Hari Gawai kepada seluruh kaum Kadazandusun dan Dayak. Parti DAP dan semua rakyat Malaysia bersama-sama meraikan hasil tuaian berlimpah-ruah untuk tahun ini.

Kita rakyat dan bangsa Malaysia tanpa mengira kaum mempunyai satu lagi sebab untuk bersyukur tahun ini. Kemenangan Pakatan Harapan di pilihanraya lalu telah menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama 61 tahun. Seperti mana Malaya telah dimerdekakan daripada penjajah British pada tahun 1957, semua rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak sekarang bebas daripada pelbagai bentuk penindasan, ketidakadilan dan korupsi.

Malaysia sedang memasuki fasa baru sejarah negara. Kita sekarang mempunyai peluang untuk membina semula Malaysia di atas tonggak persekutuan yang lebih adil dan saksama di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Malaysia baharu ini akan pasti lebih menghormati peranan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.

Pakatan Harapan akan menunaikan janji-janji manifesto dalam masa terdekat apabila kewangan persekutuan semakin pulih. Walau bagaimanapun, pemerintah sebelum ini telah meninggalkan beban hutang tinggi, lalu menyebabkan kerajaan Malaysia terbaharu ini terpaksa berhemah di dalam perbelanjaan demi menjaga kebajikan bersama. Cabaran yang ditempuhi adalah hebat. Tetapi kami amat yakin dengan kerjasama rakyat, Malaysia akan dapat menghadapi cabaran kewangan ini dengan baik sekali.

Kotobian tadau tagazo do Kaamatan! Gaya guru gerai nyamai!
Sayangi Sabahku,
Sayangi Sarawakku,
Sayangi Malaysiaku.