Skip to content

Mesej saya kepada Annuar Musa: Hentikan taktik main mangsa. Bentangkanlah tawaran pembangunan ekonomi dan sosial di Kelantan

Dalam ucapan Annuar Musa di satu perhimpunan di Kelantan, beliau menghujahkan 5 alasan kenapa pengundi Kelantan perlu menolak gabungan PH dan BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang 3 minggu lagi.

Selepas menonton seluruh ucapannya, rumusan yang saya perolehi adalah, Annuar Musa sekarang telah menjadi jurucakap PAS selepas menjadi jurucakap UMNO, beliau telah memainkan “kad mangsa” di mana semua yang dialami oleh rakyat dan negeri Kelantan adalah salah orang lain, kecuali pimpinan PAS yang telah memerintah di Kelantan selama berpuluh-puluh tahun.

Dia memberitahu rakyat di Kelantan bahawa mereka telah dikhianati oleh UMNO dan Barisan Nasional, sedangkan beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan sosial di bawah pentadbiran PAS.

Apakah Annuar Musa faham tentang kemiskinan dan kesusahan rakyat Malaysia, khususnya mereka yang duduk di Kelantan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan yang bersusah payah untuk mencari rezeki, kerana dia hanya berminat dan mementingkan kekayaan sendiri?

Kelantan masih merupakan negeri kedua termiskin di Malaysia, selepas Sabah. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berikrar untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negara kita sebelum akhir tahun ini.

Ini sebenarnya satu tugas yang mencabar, tetapi ia memang dapat dicapai sekiranya kerajaan mempunyai tekad politik (Political will). Tetapi apakah kerajaan Kelantan PAS mempunyai tekad untuk membasmi kemiskinan di Kelantan? Apakah tawaran PAS kepada pengundi di Kelantan berkenaan pembasmian kemiskinan?

Bagi PAS dan Annuar Musa, bukankah anda telah mengecewakan pengundi di Kelantan yang selama ini menyokong PAS dengan sepenuh hati walhal anda memang tidak komited untuk membentangkan rancangan pembangunan ekonomi dan reformasi sosial semasa anda berkuasa?

Annuar Musa memuji mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang pemurah kerana beliau telah memberi 7 jawatan Menteri dan Timbalan Menteri kepada ahli parlimen Kelantan. Namun, apakah prestasi menteri-menteri tersebut? Kita masih ingat kenyataan Istana Negara yang menunjukkan Takiyuddin Hassan, Menteri Undang-Undang dalam kerajaan Perikatan Nasional yang telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat tentang pembatalan Ordinan Darurat sehingga Istana Negara terpaksa menegur kenyataannya. Apakah kad laporan bagi 7 menteri dan timbalan menteri dari Kelantan dan apakah pencapaian mereka?

Kerajaan negeri sebenarnya mempunyai kuasa, sumber, keupayaan dan pengaruh untuk membangunkan negerinya melalui kewangan, program dan dasar negeri. Tetapi, selepas Tok Guru Nik Aziz, apakah tawaran kerajaan Negeri PAS kepada rakyatnya di Kelantan?

Kelima-lima perkara yang disebutkan secara berturut-turut oleh Annuar Musa hanyalah tertumpu pada mengingati orang Kelantan supaya tidak mengundi gabungan PH-BN dalam PRN yang akan datang, tetapi langsung tidak memberi apa-apa cadangan untuk menambahbaikkan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan asing, hak wanita dan kanak-kanak, serta masa depan anak muda di Kelantan, dan juga reformasi sosial untuk mencapai masyarakat madani.

Sejak tahun 2008, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Selangor ditadbir di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan. Walaupun kedua-dua negeri tersebut dikenali sebagai “negeri pembangkang”, mereka telah menunjukkan prestasi yang baik di bawah pimpinan pemimpin yang berwawasan dan jentera negeri yang sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Justeru, PAS tidak boleh menggunakan alasan bahawa mereka hanya kerajaan negeri di Kelantan. PAS pernah bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sehingga Hadi Awang merosakkan pakatan dan membawa pembentukan Pakatan Harapan.

Annuar Musa perlu berhenti membingungkan rakyat di Kelantan dengan menyalahkan orang lain tentang kesusahan di Kelantan.

Adalah amat salah bagi beliau untuk mengugut pengundi di Kelantan dan pengundi di mana-mana tempat di Malaysia.