Skip to content

Mesyuarat tergempar berkaitan pesakit Indonesia

Pada pagi ini, saya telah mempengerusikan mesyuarat tergempar berhubung isu kemasukan tiga pesakit warganegara Indonesia pada minggu lalu bagi mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta negeri Pulau Pinang.

Perbincangan utama adalah bagi mendapatkan penjelasan lanjut isu berkaitan dengan turut menyentuh mengenai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini di peringkat Pusat berhubung kemasukan pesakit di bawah sektor Kategori Pelancongan Kesihatan ke negara ini khususnya Pulau Pinang.

Mesyuarat berkaitan telah dihadiri oleh Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, YB Tuan Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalib dan Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad.

Beberapa ketetapan telah dipersetujui pada mesyuarat berkaitan, iaitu:-

  1. Kerajaan Negeri telah diberi penjelasan lanjut berhubung ketibaan dua (2) pesakit kanser dan seorang (1) pesakit yang memerlukan rawatan pada kadar segera dari Indonesia ke Pulau Pinang pada 14 Ogos 2020 menerusi pesawat khas sebagaimana ditetapkan dalam SOP agensi Pusat.
  2. Kerajaan Negeri berasa AMAT KESAL kerana langsung tidak dimaklumkan berhubung ketibaan pesakit-pesakit berkenaan secara ‘tiba-tiba’ ke negeri ini. Kerajaan Negeri turut dimaklumkan bahawa kesemua mereka telah mematuhi semua SOP yang ditetapkan agensi-agensi berkaitan termasuk Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dan Jabatan Imigresen.
  3. Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merumuskan SOP sektor Kategori Pelancongan Kesihatan dan Kerajaan Negeri dengan ini ingin menyampaikan pendirian bahawa TIDAK MEMBENARKAN kemasukan pesakit di bawah kategori ini sehingga KKM memuktamadkan SOP baharu terutamanya pada tempoh masa ini yang mana Pulau Pinang masih menerima kes-kes aktif COVID-19.
  4. Setiausaha Kerajaan Negeri telah diarahkan untuk mengadakan mesyuarat teknikal membabitkan pelbagai agensi pada petang ini untuk menguruskan isu terbabit dengan lebih lanjut bagi menjamin keselamatan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh.
  5. Kerajaan Negeri menegaskan bahawa semua agensi berkaitan dengan sektor Kategori Pelancongan Kesihatan adalah DIWAJIBKAN untuk memberi segala makluman serta maklumat kepada Kerajaan Negeri supaya kita dapat bersama-sama menguruskan isu ini dengan lebih berkesan.
  6. Kerajaan Negeri komited untuk terus memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat negeri ini terus terjamin pada tahap optimum.