Skip to content

Kesemua 42 Ahli Parlimen DAP akan sokong petisyen yang disyorkan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi untuk menurunkan denda RM1,000 kepada RM250 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka dan juga dikuatkuasakan secara sama rata ke atas Menteri dan bukan hanya ke atas rakyat biasa sahaja

Kesemua 42 Ahli Parlimen DAP akan sokong petisyen yang disyorkan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi untuk menurunkan denda RM1,000 kepada RM250 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka. Penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan secara sama rata ke atas Menteri dan bukan hanya ke atas rakyat biasa sahaja. Kadar denda RM1,000 adalah terlalu tinggi dan sukar ditanggung oleh golongan kurang berada.

RM250 disyorkan berikutan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein Onn yang ditangkap menghisap vape dalam persidangan Dewan Rakyat dan didenda RM250. Beliau telahpun meminta maaf dan membayar kompaun RM250. Sekiranya seorang Menteri yang kaya hanya didenda RM250, mengapa rakyat biasa yang hidup susah tidak boleh didenda jumlah sama sebanyak RM250 kerana tidak pakai pelitup muka?

Petisyen tersebut menyatakan bahawa denda RM1,000 adalah bersamaan dengan 83% daripada gaji minima di Malaysia iaitu RM1,200 sebulan. Berbanding keadaan di Australia di mana denda untuk kesalahan yang sama ialah AUD200, yakni hanya 6.7% daripada gaji minima di negara tersebut, iaitu AUD 3015 sebulan. Jelas di sini, RM 1,000 adalah terlalu tinggi bagi golongan miskin.

Saya sedar dan setuju dengan niat kerajaan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan awam daripada penularan wabak COVID-19, tetapi penguatkuasaan dan denda harus berpada-pada terutamanya bagi golongan B40. Lebih-lebih lagi apabila ada banyak gambar yang menunjukkan Menteri Kanan tanpa pelitup muka yang tidak dihukum denda, dan ini menimbulkan pandangan serong bahawa wujudnya pendakwaan berpilih. Kepincangan ini harus dibetulkan segera.

Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional yang menyokong petisyen ini harus dipuji kerana ketepikan perselisihan politik demi kepentingan rakyat dan negara. Oleh demikian kerajaan dipohon segera menurunkan denda RM1,000 untuk kesalahan tidak pakai pelitup muka kepada RM 250. (lihat petisyen yang dilampirkan)