Susulan daripada perkembangan semasa penularan kes positif COVID-19 di negeri Pulau Pinang, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang telah menerima beberapa ulasan serta pandangan daripada Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP).
Antaranya ialah: –
- Pelaporan kes positif harian yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di negeri ini masih pada skala terkawal dan minimum. Justeru, tindakan pengesanan kontak rapat kepada pesakit akan dilaksanakan secara berterusan oleh pihak JKNPP mengikut prosedur operasi standard (SOP) jabatan-jabatan berkaitan bagi memastikan jangkitan ini tidak tersebar dengan meluas.
- Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal COVID-19 pada 10 Ogos 2020, MKNPP dimaklumkan bahawa JKNPP melalui Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) akan terus komited serta sentiasa bertungkus-lumus untuk mengambil apa jua tindakan dalam memastikan penularan wabak ini tidak merebak secara meluas dan dapat diputuskan jaringan jangkitannya secepat mungkin.
- Kes-kes terbaru yang dikesan adalah dari kluster luar negeri Pulau Pinang yang berbeza-beza iaitu Kluster Sivagangga, Kluster Kurau dan Kluster Tawar. Manakala individu dalam siasatan (PUI) pula adalah dari lokaliti serta daerah yang berbeza iaitu Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah (SPT), Barat Daya (BD) dan Timur Laut (TL). Sehingga kini, masih tiada laporan berkaitan kluster baru yang muncul dari dalam negeri ini.
- Justeru, saya BERSETUJU dengan pandangan serta cadangan MKNPP berhubung situasi semasa COVID-19 di negeri ini seperti berikut:-
- Semua pihak perlu bertenang dan terus melaksanakan aktiviti harian seperti biasa dengan mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka serta mematuhi semua SOP-SOP yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan;
- Orang awam serta pihak swasta perlu bekerjasama dalam memastikan SOP dipatuhi serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan sahih kepada umum;
- Pemilik premis harus memastikan setiap pelanggan yang berurusan mematuhi semua SOP ditetapkan dan wajar dipertanggungjawabkan sekiranya didapati mana-mana pelanggan memasuki premis mereka tanpa kawalan serta pematuhan;
- Sebarang kenyataan berhubung kes positif harian di semua negeri akan diumumkan secara rasmi oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. Semua pihak adalah disaran supaya tidak mengeluarkan kenyataan awal sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pada setiap hari;
- Adalah disyorkan kenyataan-kenyataan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), daerah dan negeri lebih tertumpu kepada aspek pematuhan SOP, tanggungjawab masyarakat dalam menyebarkan maklumat yang tepat serta sahih, tindakan-tindakan semasa yang dilaksanakan oleh agensi negeri dan persekutuan serta mempromosikan kempen normal baharu kepada rakyat di negeri Pulau Pinang;
- Sekiranya berlaku kenaikan kes positif secara mendadak di satu-satu lokaliti, maka pihak PKD serta JKNPP telah dimaklumkan untuk mengambil langkah awal dengan membuat penilaian risiko dan menasihati MKNPP dengan tindakan selanjutnya. Malah, jika perlu (hasil nasihat daripada JKNPP), MKNPP akan mencadangkan kepada Ketua Menteri untuk mengadakan mesyuarat JKKN COVID-19 pada kadar segera bagi mempertimbangkan beberapa langkah drastik seperti cadangan-cadangan daripada pihak JKNPP termasuk, (jika perlu) diadakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar, secara Pentadbiran/Targeted Enhanced Movement Control Order (TEMCO) di lokaliti terlibat;
- JKKN COVID-19 di Peringkat Negeri hanya boleh membincangkan serta mencadangkan, namun semua keputusan pelaksanaan TEMCO ini akan diberi pertimbangan kelulusan serta diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.