Penyusutan KDNK suku tahunan terburuk dalam sejarah pada paras 17.1% memerlukan satu lagi pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM45 bilion bagi memerangi kemelesetan ekonomi COVID-19. Kerajaan harus melaksanakan satu lagi pusingan langkah-langkah kewangan pasca COVID-19 seperti suntikan dana berjumlah RM45 bilion yang dilakukan pada awal bulan April.
KDNK sebenar selepas pelarasan musim menguncup 16.5% suku tahun ke suku tahun (q-o-q). Ini berbanding dengan penyusutan suku tahun pertama 2% q-o-q. Dengan dua penyusutan q-o-q berturut-turut, ini mengesahkan bahawa Malaysia tekah memasuki kemelesetan ekonomi teknikal pada 1H20 (separuh tahun pertama 2020)
Jadual 1: Pertumbuhan KDNK 2020 Malaysia pada tahun-ke-tahun dan suku tahun-ke-suku tahun
| Pertumbuhan KDNK | Suku pertama | Suku kedua |
| Tahun ke tahun | 0.7% | -17.1% |
|
Suku tahun-ke-suku tahun selepas pelarasan musim |
-2.0% | -16.5% |
Selain itu, prestasi KDNK Malaysia adalah yang terburuk diantara negara-negara Asean berpendapatan sederhana dan tinggi yang telah melaporkan angka suku kedua mereka. Negara jiran kita iaitu Indonesia, Filipina dan Singapura semuanya mencatatkan penyusutan yang lebih rendah daripada kita. Hanya Vietnam yang cukup bernasib baik kerana masih menikmati pertumbuhan yang kecil (Jadual 2).
Carta 2: Pertumbuhan KDNK tahun-ke-tahun bagi ekonomi utama Asean
| Ekonomi | Pertumbuhan KDNK suku pertama | Pertumbuhan KDNK suku kedua |
|---|---|---|
| Malaysia | 0.7% | -17.1% |
| Indonesia | 3.0% | -5.3% |
| Filipina | -0.2% | -16.5% |
| Singapura | -0.3% | -13.2% |
| Thailand | -1.8% | N/A |
| Vietnam | 3.8% | 0.4% |
Waulaupun Kerajaan masih tidak mahu mengaku, data ekonomi menunjukkan jelas bahawa Kerajaan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kadar kemelesetan ekonomi. Data Bank Negara Malaysia menunjukkan perbelanjaan mengurus suku kedua kerajaan menurun 2.1% daripada tahun lalu, berbanding kenaikan 5.2% pada suku pertama. Sekiranya pemerintah bertindak lebih pantas, kita mungkin akan mengalami kemelesetan yang lebih rendah.
Kadar pengangguran 4.9% pada bulan Jun menyembunyikan fakta bahawa terdapat banyak golongan profesional seperti juruterbang yang melakukan pekerjaan selain menerbangkan pesawat. Secara mudah, mereka boleh dikatakan bekerja di bawah potensi mereka atau ‘guna tenaga tidak penuh’ (underemployment). Di sini, Kerajaan harus sedar bahawa kualiti pekerjaan adalah sama pentingnya dengan jumlah pekerjaan.
Statistik tersebut juga tidak mengambilkira tentang pemotongan gaji yang dialami oleh pekerja Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan April, 84% daripada pekerja sektor swasta terkesan dengan pemotongan gaji. Bank Negara Malaysia juga melaporkan bahawa pada suku tahun kedua, gaji swasta turun sebanyak 5.6% berbanding tahun lalu setelah meningkat 2.1% pada suku tahun pertama 2020.
Ini menuju kepada risiko sebenar deflasi yang mampu menjejaskan taraf hidup rakyat Malaysia. Dengan kemelesetan ekonomi, harga barangan akan jatuh. Pada bulan Jun 2020, indeks harga pengguna (CPI) menurun sebanyak 1.9% tahun ke tahun setelah menurun sebanyak 2.9% pada bulan Mei. Pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah dan harga barangan yang lebih rendah adalah berita buruk untuk ekonomi.
Terdapat keperluan mendesak untuk satu lagi pusingan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM45 bilion untuk mencegah deflasi, termasuk bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana dan melanjutkan moratorium pinjaman bank selama 6 bulan lagi apabila tamat pada 30 September. Kegagalan untuk melakukannya akan menyebabkan malapetaka yang lebih besar termasuklah kebankrapan kerana banyak yang akan gagal untuk membayar pinjaman mereka, baik untuk tujuan kereta, rumah atau perniagaan