Ramai warga negara telah dimiskinkan dengan pemanjangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh kes baru yang naik mendadak dan kematian pesakit Covid yang tinggi.
Sejak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin memberi ucapan Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun 2021, di mana beliau mengumumkan pemberian bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada golongan miskin dan juga peruntukan RM300 ribu kepada Ahli Parlimen untuk memberi makanan kepada golongan papa miskin, pusat khidmat Parlimen saya dan juga rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain telah terima banyak panggilan yang ingin memohon BPR dan minta derma makanan.
Tetapi pusat khidmat Parlimen kami tidak dapat buat apa-apa kerana BPR RM500 bagi keluarga miskin masih belum dibuka untuk permohonan dan peruntukan RM300 ribu masih tidak disalurkan kepada akaun pusat khidmat Ahli Parlimen.
Memandangkan fasa pertama PKP akan diteruskan lagi sehingga kes harian Covid jatuh di bawah paras 4,000 kes setiap hari, banyak syarikat dan malah penjaja kecil masih tidak dibenarkan berniaga dan ramai rakyat sudah hilang sumber pendapatan sampai tahap tiada makanan, saya ingin minta kerajaan mempercepatkan pemberian peruntukan yang dijanjikan dalam PEMULIH, kerana tahap kemiskinan di bawah B40 telah sampai ke tahap yang kritikal.
Mengikut pengalaman yang lepas, kerajaan biasanya mengambil masa lebih satu bulan untuk memproses permohonan BPR oleh golongan B40 dan juga menyalurkan peruntukan kepada akaun pusat khidmat Ahli Parlimen. Tibalah masanya bagi kerajaan untuk memproseskan janji-janji PEMULIHAN ini dengan mengambil pendekatan kecemasan, sebagai langkah untuk menyelamatkan lebih nyawa golongan miskin dalam kelaparan.