Nampaknya tradisi muhibbah dan saling bertoleransi dalam bulan Ramadan di Malaysia yang berbilang bangsa dan agama semakin hilang.
Jumaat lalu, sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jaringan Muslimin Pulau Pinang mahu Ketua Menteri negeri itu, Lim Guan Eng dilarang daripada menghadiri majlis berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.
Semalam pula di Johor, satu lagi kumpulan bernama Gerakan Pemikir Muda memarahi Adun DAP Yong Peng, Puan Chew Peck Choo atas cadangannya membenarkan warga asing menggunakan Bas Muafakat Johor (BMJ) secara percuma. Kononnya mereka kata beliau mempertikaikan hak dan keistimewaan rakyat Malaysia.
Langkah perkhidmatan bas percuma kepada semua tanpa mengira kerakyatan sebenarnya telah dimulakan oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional.
Lima tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan perkhidmatan bas percuma GoKL di Kuala Lumpur yang menerima pujian daripada Ahli-ahli Parlimen Pembangkang.
Pengangkutan awam percuma tanpa mengira kerakyatan wajar dipromosi secara meluas kerana paling penting ia akan membantu mengurangkan kesesakan jalanraya selain mengurangkan pencemaran karbon yang dihasilkan kenderaan persendirian.
Bukan sahaja itu, perkhidmatan bas percuma akan menarik minat pelancong untuk melawat ceruk rantau di Johor dan juga di Kuala Lumpur, yang biasanya kurang dilawati jika tiada khidmatan pengangkutan awam percuma. Manfaat ekonomi yang dibawa oleh pelancong kepada penduduk tempatan juga sangatlah besar.
Betapa mengarut pun idea-idea daripada kumpulan seperti Jaringan Muslimin Pulau Pinang dan Gerakan Pemikir Muda ini, akan lebih banyak kumpulan sedemikian yang bakal tampil menyerang DAP dengan segala macam tuduhan yang tidak masuk akal di bulan Ramadan yang mulia ini menjelang pilihanraya umum tidak lama lagi.
Pihak bertanggungjawab harus bertindak memperbetulkan tindakan golongan ini dengan secepat mungkin sebelum ia membarah dalam masyarakat.