Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengingatkan rakyat negara ini bahawa mereka tidak seharusnya bersikap mengambil mudah suasana negara aman serta politik stabil yang dikecapi hari ini sehingga sewenang-wenang ingin menukar kerajaan jelas menunjukkan beliau tidak yakin BN akan memenangi PRU yang akan datang. Tuduhan beliau mengatakan pertukaran kerajaan akan menyebabkan negeri dan negara hancur adalah ancaman untuk menakutkan pengundi agar tidak mengundi PH.
Perkara ini bukan sahaja tidak benar malah ia merupakan satu penghinaan terhadap rakyat jelata seolah-olah mereka katak di bawah tempurung. Ini adalah kerana Negeri Selangor dan Pulau Pinang yang telah bertukar kerajaan sejak 2008 bukan sahaja tidak hancur tetapi semakin maju. Rakyat di kedua-dua negeri ini mendapat lebih banyak kebaikan di bawah pimpinan Pakatan Harapan berbanding dengan negeri-negeri di bawah pimpinan BN. Ini membuktikan bahawa apa yang Najib katakan adalah tidak benar sama sekali.
Malaysia tidak akan hancur jika bertukar kerajaan malah ia hanya akan hancur jika terus dipimpin oleh kleptokrasi.