Skip to content

Penyelesaian skandal tanah FELDA secara ‘reset’ yang penuh misteri menimbulkan lebih banyak persoalan

Awal minggu ini, Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata bahawa skandal tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur bernilai RM27 juta yang dipindah milik kepada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) tanpa satu sen bayaran pun pada tahun 2015 telah diselesaikan, dengan FELDA mendapatkan semula hakmilik tanah tersebut tanpa sebarang kos.

Penyelesaian secara ‘reset’ yang penuh misteri ini menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan ke atas skandal jual beli tanah paling sarat penipuan sepanjang sejarah Malaysia.

Pertama sekali, sebarang jual beli hartanah sepatutnya melibatkan duti setem. SPSB sekurang-kurangnya mesti membayar kerajaan sejumlah RM8 juta hanya untuk duti setem sahaja bagi mendapatkan hakmilik tanah terbabit. Itu pun kalau ia dilakukan dengan satu perjanjian jual beli, dan nilaiannya RM27 juta, dan bukan RM1 bilion seperti yang didakwa para pengkritik.

Jadi soalannya, berapakah jumlah duti setem yang telah dibayar SPSB, dan adakah pihak berwajib telah mengembalikan amaun terlibat kepada SPSB, atau adakah SPSB telah dibayar oleh Felda setelah hakmilik tanah itu dikembalikan?

Kedua, adakah FELDA mendapatkan semula tanah terbabit bebas dari bebanan (free of all encumbrances) atau adakah tanah terbabit telah dicagarkan kepada mana-mana bank untuk sebarang pinjaman?

Ketiga dan paling penting sekali, siapakah pemegang sebenar hak milik tanah terbabit itu sekarang? Geran tanah masih didaftarkan di bawah nama SPSB atau Felda? Bolehkah Shahrir Samad tunjukkan gerannya kepada kita?