Tidak ada gunanya untuk memujuk PAS berjuang bersama Pakatan Harapan dalam PRU14. PAS sudah mula bersebati dengan UMNO. Ini sudah menjadi rahsia terbuka. Apabila parti itu sudah berjinak dengan UMNO, tidak perlu untuk pemimpin-pemimpin pembangkang memujuknya lagi.
PAS dan UMNO sudah mempunyai agenda mereka sendiri. Samada MCA, MIC, Gerakan, PPP dan parti-parti komponen Barisan Nasional dari Sabah & Sarawak akan merestui perkahwinan PAS-UMNO itu belum pasti lagi. Kita perlu tunggu dan lihat adengan seterusnya.
Pada hemat saya, Pakatan Harapan harus bersedia untuk menghadapi kedua-dua parti itu dengan berani. Walaupun besar kemungkinan pertandingan 3 penjuru akan berlaku di banyak kerusi. Tetapi, rakyat boleh menentukan parti-parti manakah yang boleh membawa perubahan dan selamatkan rakyat dan negara ini.
Pakatan Harapan tidak boleh tunggu untuk sesiapa lagi. Perlu mengatur strategi dan turun padang dengan serta merta untuk memberi penjelasan. Kita perlu menjernihkan air yang keruh. Perkara ini bukanlah mudah. Tetapi, perlu dilakukan demi menyelamatkan negara kita daripada perompak dan sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan denganya.
Jika Pakatan Harapan mempunyai strategi yang baik, saya yakin pertandingan 3 penjuru tidak menjadi masalah lebih-lebih lagi apabila rakyat mengetahui muslihat dalam hubungan intim PAS-UMNO. Rakyat Malaysia dapat menilai sendiri tindak tanduk PAS dan UMNO. Biar mereka membuat keputusan sendiri samada benar atau tidak undi PAS adalah undi untuk UMNO.