Skip to content

Parti DAP menyokong penuh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara dasarnya dan mengharapkan ia dapat diimplementasikan secepat mungkin secara efektif dan saksama untuk semua rakyat Malaysia

Kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan(PICK) adalah sesuatu yang sangat penting bukan sahaja untuk mengurangkan kejangkitan COVID-19, melindungi kesihatan rakyat, tetapi juga untuk memulihkan ekonomi negara dan kehidupan rakyat yang semakin parah.

Maka, dari pihak kami, kami membangkitkan beberapa isu utama untuk perhatian kementerian untuk memastikan kejayaan implementasi PICK ini.

(1) kami memandang serius aduan dan dakwaan terutamanya dari golongan petugas barisan hadapan tentang kejadian 'potong barisan' dalam proses pemberian vaksin fasa pertama.

Mereka seharusnya diberikan keutamaan secara terus dan kerajaan haruslah memastikan kesemua petugas barisan hadapan yang termasuk dalam fasa pertama akan mendapatkan vaksin mereka secepat mungkin tanpa sebarang penangguhan lagi.

Kami mengalu-alukan seruan daripada Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, supaya pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan memberikan maklumat mengenai cubaan-cubaan sesetengah pihak untuk memotong barisan. Namun, kerajaan haruslah memastikan bahawa mereka yang tampil ke hadapan akan dilindungi sebaik-baiknya dari sebarang hukuman atau tindakan tatatertib.

Kami menyeru agar kerajaan bersikap telus dalam menangani isu ini dan mendedahkan mana-mana pihak yang dibuktikan terlibat dengan kejadian ‘potong barisan’ untuk diberikan pengajaran kepada yang lain. Ia adalah penting bahawa dakwaan ini tidak dibiarkan tanpa sebarang tindakan untuk menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat dan untuk memastikan terdapatnya kesaksamaan vaksin dan kejayaan dalam PICK.

(2) Kami berharap kerajaan akan secepat mungkin memperincikan secara spesifik kumpulan keutamaan untuk fasa kedua PICK, yang dijadualkan dibuka dalam masa kurang dari sebulan pada bulan April. Ini penting untuk mengurangkan sebarang kekeliruan dan memastikan fasa kedua berjalan secara lancar terutamanya apabila kerajaan menyasarkan kira-kira 9.4 juta orang berusia lebih 60 tahun dan mereka yang mempunyai komorbiditi, yang menghidap penyakit kronik dan berisiko tinggi mendapat gejala yang serius dari Covid-19.

Komunikasi dan koordinasi dengan pihak berkepentingan, pakar perubatan, klinik masyarakat dan rumah jagaan haruslah dipertingkatkan, untuk memastikan semua kumpulan ini tidak ketinggalan dan diberikan maklumat yang betul tentang pentingnya mendapatkan vaksin tersebut walaupun dalam keadaan kesihatan mereka.

(3) Pihak Kementerian haruslah melakarkan satu kerangka kerjasama yang komprehensif antara pihak awam dan pihak swasta untuk bersama-sama menjayakan PICK dengan lebih cepat bagi mencapai target imuniti kelompok 70%. Anggota perubatan dari sektor swasta termasuk doktor gigi juga haruslah diberikan keutamaan vaksin dalam fasa 1 kerana doktor dari klinik swasta sering kali menjadi tempat rawatan pertama bagi pesakit bergejala mahupun tidak bergejala.

(4) Penerangan yang efektif menjadi penentu kejayaan program Imunisasi ini. Satu rancangan komunikasi yang komprehensif termasuk komunikasi multi-modal, pelbagai medium, pelbagai bahasa yang agresif perlu dilaksanakan untuk memastikan setiap komuniti diberikan maklumat yang betul berdasarkan sains dan fakta untuk menangani penularan maklumat palsu berkenaan vaksin ini.

Kami dari pihak DAP juga akan memberi kerjasama dan mengembleng tenaga semua wakil-wakil rakyat kami untuk membantu dalam komunikasi strategik tentang manfaat vaksin
COVID-19, membenteras fahaman anti-vaksin dan koordinasi perlaksanaan imunisasi di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.

Oleh itu, kami berharap pihak kerajaan akan melibatkan kami secara terus termasuk menyediakan akses kepada sumber dan data yang ada untuk mengaktifkan kaedah “whole society approach”; dalam memantau dan menjayakan perlaksanaan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

(5) Kami juga menggesa Menteri untuk menasihati Perdana Menteri untuk menangguhkan pilihan raya sehingga lebih 70% rakyat Malaysia divaksinasi dan imuniti kelompok dicapai. Keselamatan dan kesejahteraan rakyat haruslah diutamakan di atas sebarang kepentingan politik.