Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui surat bertarikh 21 Februari 2020 memaklumkan bahawa Asian Football Confederation (AFC) telah menguatkuasakan bahawa hanya pasukan bola sepak yang bersatus ‘Kelab’ sahaja yang layak untuk menyertai Pertandingan Kelab AFC pada Musim 2021.
Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai pemisahan sepenuhnya Kelab Bolasepak Pulau Pinang (PFC) daripada Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP). Lanjutan itu, Penang Football Club Sdn. Bhd. (PFC SB) telah didaftarkan pada 21 September 2020. Kini, pasukan PFC di bawah urus tadbir PFC SB. Untuk melicinkan proses peralihan tadbir urus PFC serta bagi memastikan kesinambungan pentadbiran syarikat yang memerlukan pemacuan daya gerak yang boleh memajukan sukan bola sepak di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya PFC SB diletakkan sebagai anak syarikat (GLC) di bawah Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI). Keputusan tersebut dibuat bagi tujuan menjaga imej pasukan bola sepak PFC (juara Liga Perdana 2020 yang perlu membuat pendaftaran penyertaan Liga Super Musim 2021 sebelum 12 Februari 2021) serta menjaga kebajikan pegawai dan pemain PFC (dari segi bayaran gaji dan sebagainya).
Di kesempatan ini juga, Kerajaan Negeri ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Dato Dr. Amar Pritpal Abdullah atas sumbangan dan khidmat bakti beliau yang tidak ternilai dalam membina semangat pasukan Bola Sepak Pulau Pinang (kini dikenali sebagai PFC) sepanjang beliau memikul tanggungjawab sebagai Presiden FAP dan Lembaga Pengarah PFC SB yang terdahulu. Sumbangan beliau dalam pembentukan pasukan Bola Sepak Pulau Pinang juga amat besar sehingga pasukan berkenaan dinobatkan sebagai Juara Liga Premier Musim 2020 dan seterusnya layak menyertai Liga Super Malaysia Musim 2021.
Kini, dengan penubuhan PFC SB, ianya dianggotai oleh:-
- EXCO MMK Belia dan Sukan – YB Soon Lip Chee (Pengerusi)
- Pegawai Kewangan Negeri – YB Dato’ Dr. Mohamad Farazi bin Johari (Ahli)
- Penasihat Undang-Undang Negeri – YB Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi (Ahli)
- Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) – Dato’ Azhar bin Haji Arshad (Ahli)
- Timbalan Pengurus Besar CMI – Puan Barathi a/p Suppiah (Ahli)
Bagi menghargai sumbangan dan jasa YB Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah sebagai bekas Presiden FAP dan Lembaga Pengarah PFC SB terdahulu, beliau kini dilantik sebagai Pengarah Eksekutif PFC SB berkuatkuasa Februari 2021. Melalui beliau, kita telah berjaya membuat rundingan semula dengan semua pemain dan pegawai PFC mengenai hal ehwal gaji dan hal ehwal kebajikan yang lain dan ianya telahpun diselesaikan.
Kontrak perjanjian antara PFC SB dengan mereka yang terlibat (pegawai, pemain dan kakitangan pengurusan PFC) telah selesai ditandatangani. PFC akan dikuatkan dengan lima (5) pemain import. Urusan bayaran gaji pemain dan pegawai PFC bagi bulan Januari 2021 juga telah berjaya diselesaikan.
Kriteria pemilihan pemain dibuat berdasarkan prestasi dan pengalaman serta penilaian oleh Pengurus Pasukan dan Ketua Jurulatih bersama-sama Pengarah Eksekutif PFC SB. Keputusan untuk membawa lima (5) pemain import untuk menguatkan pasukan PFC adalah atas justifikasi mereka mempunyai rekod prestasi cemerlang bukan sahaja di negara asal mereka, malah dalam Liga Malaysia juga. Sebagai contoh, Arruda Da Silva Anselmo (Casagrande) dari Brazil yang merupakan penjaring terbanyak dalam saingan Liga Premier Musim 2020 (Silver Boot).
PFC telah selesai latihan pra-musim (perlawanan persahabatan) seperti berikut:-
- KDFC lwn PFC (away game) pada 18 Februari 2021 (Seri 1-1)
- PFC lwn KDFC (home game) pada 21 Februari 2021 (PFC menang 3-1)
- NSFC lwn PFC (away game) pada 23 Februari 2021 (PFC kalah 1-2)
- Perak FC lwn PFC (away game) pada 28 Februari 2021 (PFC kalah 1-2)
PFC kini sedang giat memberi fokus dalam latihan dan persediaan untuk sepak mula/perlawanan rasmi pertama saingan Piala Liga Super Malaysia Musim 2021 menentang Kula Lumpur FC pada 6 Mac 2021, jam 9:00 malam di Stadium Bandaraya Pulau Pinang (home game).
Memandangkan PFC adalah antara pendatang baru dalam saingan Liga Super 2021, sasaran/KPI yang ditetapkan pada ketika ini adalah untuk berada dalam kelompok 6 pasukan terbaik.
Untuk membantu PFC SB maju ke hadapan dan memastikan semua urusan dilaksanakan berkonsepkan amalan CAT, maka, urusan pelantikan seorang Pengurus (Am/Operasi) dan seorang Eksekutif Kewangan/Akaun akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan lantikan dijangka dapat dibuat dalam bulan April 2021.
PELANCARAN JERSI RASMI PFC (HOME/AWAY)
Sidang Akhbar pada hari ini juga adalah bagi tujuan pelancaran jersi rasmi pasukan PFC. Jersi PFC bagi musim 2021 bakal menggunakan jenama Puma. Secara ringkas, ia ditaja dan dibekalkan oleh Syarikat Active Sports Sdn. Bhd. (syarikat sah dan berdaftar bagi pengeluaran produk jenama Puma).
Bersama-sama kita hari ini adalah Encik Murugason, pemilik Syarikat Active Sports Sdn. Bhd. Kerajaan Negeri dan PFC SB amat berterima kasih dan menghargai tajaan yang dibuat.
Untuk makluman, kita masih meneliti dan dalam pertimbangan untuk memilih beberapa syarikat penaja untuk dipamer dan diklankan pada jersi kebanggaan kita. Nilai tajaan Platinum adalah bernilai RM1 juta, Gold bernilai RM750,000.00, Silver bernilai RM500,000.00, Bronze bernilai RM250,000.00 dan Partners bernilai RM100,000.00.
Walaupun jersi pasukan PFC kini telah dicetak dan akan diserahkan kepada pemain pada esok hari (Jumaat), namun, setelah syarikat penaja telah dimuktamadkan, jersi berkenaan akan dicetak semula dengan nama penaja yang terlibat.
Semoga dengan pelancaran jersi rasmi PFC baru ini dapat menaikkan semangat dan moral keseluruhan pasukan bagi musim Piala Liga Super Malaysia Musim 2021 bermula Sabtu ini.