Skip to content

PAS mengapi-apikan hubungan Islam dan bukan Islam atas nama RUU355

Kenyataan Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Muhammad Najhan Halim bahawa orang bukan Islam tidak patut memasuki masjid dengan tanggapan bahawa mereka tidak menyokong RUU355 adalah sesuatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal
(http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/01/siapa-bantah-ruu-355-tak-layak-masuk-masjid-kata-pas/). Masjid bukan sahaja adalah tempat beribadat tetapi tempat untuk komuniti tidak kira agama untuk berkunjung bagi program-program muhibah.

Adalah sangat memalukan buat seorang ustaz tidak tahu bahawa Islam itu bertapak dengan sifat-sifat universal yang sinonim dengan semua lapisan masyarakat. Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia, inilah masanya kita ingin memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat dan tempayan yang terbaik adalah sebuah masjid.

Saya sangat pelik dengan Pan-Malaysian Islamic Party (PAS) sekarang, dahulu mereka yang mengajak bukan islam berbuka puasa sekali, kini lain pula ceritanya. Bagi saya, PAS kini menunjukkan belangnya dengan menggunakan alasan kekurangan sokongan terhadap RUU355 untuk melagakan hubungan di antara orang Islam dan bukan Islam. Sikap yang tidak bertanggungjawab parti PAS yang kononnya ingin menegakkan Islam amat merbahaya bagi masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.