Skip to content

Tuntutan RDPT : Suatu lagi manipulasi pra-PRU14 dan tanda PRU14 semakin dekat

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menjelaskan kepada seluruh warga Malaysia kewajaran mereka membenarkan tuntutan sebanyak 2,193 pemilih di negeri Johor dan sebab mengapakah beribu-ribu pemilih tersebut gagal dimasukkan dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan suku pertama tahun 2017? Adakah ini hanya suatu jalan pintas untuk memasukkan beribu-ribu pemilih tanpa mengikuti prosidur pendaftaran pemilih yang lazim?

Dalam pameran senarai tuntutan Rang Daftar Pemilih Tambahan suku pertama tahun 2017 yang berakhir hari ini, sebanyak 2,193 tuntutan telah dibuat (1,184 di P152 Kluang, 218 di P154 Mersing, 268 di P155 Tenggara, 256 di P157 Pengerang dan 267 di P159 Pasir Gudang) di seluruh negeri Johor kesemuanya berlaku di kem tentera, sama ada anggota atau kemungkinan pasangan kepada anggota.

Apa yang memeranjatkan ialah antaranya lebih daripada separuh iaitu 54 peratus daripada tuntutan tersebut berlaku di P152 Kluang, khasnya N29 Mahkota. Walaupun senarai yang dipamerkan menunjukkan 235 pemilih tentera ditambahkan ke N28 Mengkibol namun daerah mengundi tersebut disyorkan untuk disempadankan ke bahagian pilihanraya N29 Mahkota. Ini bermaksud kesemua 1,184 pemilih tentera yang tersebut di atas akhirnya akan menjadi pemilih di bahagian N29 Mahkota.

Angka ini sangat mencurigakan jika berbanding dengan pendaftaran pemilih anggota tentera atau pasangan di parlimen Kluang untuk 4 suku tahun yang lalu pada 2016.

Suku tahun ST1 ST2 ST3 ST4 Jumlah
Pemilih Tentera/Pasangan 5 105 37 471 618

Jelas kelihatan bahawa senarai tuntutan yang dipamerkan oleh SPR untuk RDPT suku tahun terbaru ini adalah lebih kurang dua kali ganda berbanding dengan jumlah anggota tentera yang didaftarkan untuk sepanjang tahun 2016. Perbandingan ini jelas memberikan suatu mesej yang membimbangkan kepada kita bahawa terdapat usaha untuk mengekalkan kemenangan Barisan Nasional di Kluang dengan menggunakan pemilih tentera yang selama ini dilihat sebagai undi simpanan tetap BN.

Seluruh rakyat Kluang juga tertanya-tanya bahawa adakah ini merupakan satu lagi percubaan parti pemerintah untuk merampas parlimen Kluang dan mengukuhkan kedudukan mereka di DUN Mahkota yang dimenangi dengan majority tipis hanya 1,108 undi?

SPR wajar memberi penjelasan kepada kita mengapakah keadaan seperti ini boleh berlaku? Bagaimanakah pendaftaran sebanyak 2,193 pemilih boleh tercicir dalam RDPT ST1/2017?

Saya percaya bahawa ramai warga Malaysia akan sependapat dengan saya bahawa adakah ini merupakan suatu usaha atau percubaan terakhir pihak parti pemerintah untuk memasukkan pemilih yang lebih berpotensi mengundi mereka supaya mereka sempat menjadi pengundi dalam PRU14.

Daripada tindak tanduk yang tergesa-gesa mendaftarkan lebih ramai pemilih tentera dalam RDPT terbaru ini saya menjangkakan ini merupakan tanda-tanda bahawa PRU14 akan diadakan dalam masa terdekat, mungkin jatuh selepas suku ketiga tahun ini.