Skip to content

PAS usah kepanasan, PRU 14 nanti di tangan rakyat, kita tunggu dan lihat!

Baru-baru ini kita lihat bertalu-talu serangan PAS terhadap AMANAH dan juga DAP, apabila Ahli Parlimen Gelang Patah, YB Lim Kit Siang memberi sokongan penuh terhadap Husam Musa.

Pelik dan ajaib, saya melihat reaksi PAS bagai cacing kepanasan. Jika PAS di Kelantan kuat, kenapa melenting? Jika polisi-polisi kerajaan negeri Kelantan semuanya baik belaka, kenapa perlu takut?

Walaupun isu banjir, dan isu balak disenyapkan oleh Nik Abduh dan konco-konconya. Rakyat Kelantanlah yang akan menilai betapa efektif gerak kerja kerajaan negeri itu.

Seperti yang sedia maklum, Husam Musa merupakan anak didik Allahyarham Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz yang mampu meneruskan legasi beliau dengan pentadbiran yang lebih tulus dan efisien berbanding dengan pentadbiran yang sedia ada. Oleh itu, adalah tidak salah jika sokongan oleh YB Lim Kit Siang diberikan kepada Husam Musa andaikan Pakatan Harapan mendapat kerusi majoriti di Kelantan pada PRU 14 nanti. Idea politik sebegini berhak dilemparkan oleh mana-mana pihak dan tidak perlu pengiktirafan oleh pihak PAS yang semakin tidak relevan.

Gabungan Pakatan Harapan adalah gabungan persetujuan di antara beberapa parti politik selepas perundingan di antara parti-parti dilaksanakan. Adalah mustahil untuk menuduh parti DAP mendominasi Pakatan Harapan di mana konsensus daripada semua pihak diperlukan sekiranya keputusan politik harus diambil. Sebaliknya, semasa PAS dalam Pakatan Rakyat, mereka tidak pernah berunding dengan mana-mana parti di dalam pimpinan Pakatan Rakyat semasa mengusulkan cadangan Ahli Parlimen Marang. Bagi kami, PAS adalah sebuah parti yang tidak mempedulikan konsensus dan kerjasama politik.

Pendirian Nik Abduh berkenaan isu 1MDB yang menyusahkan rakyat dan menolak pelawaan Pakatan Harapan untuk bekerjasama membawa mereka yang terlibat di dalam skandal penyelewengan dana 1MDB ke muka pengadilan adalah mengecewakan dan berbunyi seperti PAS seolah-olah lebih mengikut kepada skrip UMNO. Adakah PAS tidak menghiraukan isu-isu penyelewengan yang merugikan di negara sendiri? Seorang Ahli Parlimen seperti Nik Abduh harus sedar betapa serius isu ini yang hanya akan memalukan negara kita di peringkat antarabangsa.

Untuk lebih 40 tahun PAS lantang bersuara terhadap korupsi BN dan UMNO tetapi sekarang mereka lebih rela menjadi kuda tunggangan UMNO. Bukankah tanggungjawab moral sebuah parti berlandaskan Islam adalah untuk memastikan ketelusan dalam pengendalian dana awam? Apakah pimpinan PAS sudah lupa diri mereka?

Nik Abduh dan PAS harus sedar diri sendiri dan tepuk dada tanya selera akan pendirian mereka mengenai hala tuju politik di negara kita di bawah Barisan Nasional yang zalim.