Enam lelaki warga asing telah didakwa tanpa kehadiran mereka berhubung kes samun bersenjata di Pavilion Embassy, Jalan Ampang. Polis kini mahu mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan mereka. PDRM perlu menjelaskan bagaimana enam suspek boleh sampai ke peringkat didakwa tetapi keberadaan mereka masih tidak diketahui.
Apakah langkah yang diambil untuk menghalang mereka meninggalkan Malaysia dan adakah pihak Imigresen dimaklumkan? Atau polis benar-benar berharap suspek kes samun bersenjata akan duduk diam di Malaysia, tunggu polis siapkan kes, kemudian datang sendiri ke mahkamah untuk didakwa?
Kes ini patut menjadi amaran dalam kes tembakan Durian Tunggal. Tiga lelaki ditembak mati dalam operasi polis pada 24 November 2025. Pada 20 Julai 2026, Jabatan Peguam Negara memutuskan supaya inkues diadakan bagi menentukan punca dan keadaan kematian mereka, termasuk sama ada terdapat unsur jenayah.
Pada 10 Ogos, polis berkata permohonan inkues akan difailkan dalam tempoh dua hari untuk mendapatkan tarikh pendengaran. Hari ini 20 September. Sudah dua bulan sejak keputusan mengadakan inkues dibuat. Bila inkues hendak bermula? PDRM juga mesti memastikan anggota polis yang melepaskan tembakan atau terlibat secara langsung dalam kejadian itu kekal di Malaysia sepanjang inkues dan sebarang prosiding berkaitan.
Saya mendesak PDRM dan Jabatan Peguam Negara menggunakan semua langkah yang dibenarkan undang-undang, termasuk memohon perintah penyerahan pasport atau sekatan perjalanan jika terdapat asas undang-undang untuk berbuat demikian. Ini bukan soal menghukum mereka sebelum dibicarakan. Ini soal memastikan mereka hadir apabila diperlukan oleh mahkamah.
Kita sudah belajar daripada kes Sirul Azhar Umar yang meninggalkan Malaysia sebelum keputusan akhir kes pembunuhan Altantuya.
Suspek Pavilion Embassy kini perlu diburu dengan bantuan Interpol. Dalam kes Durian Tunggal, jangan tunggu orang keluar negara dahulu baru polis sibuk mencari.
Cegah sekarang. Jangan cari alasan kemudian.