Menyedari keperluan untuk memperkukuhkan usaha mencegah scam atau penipuan, satu pertemuan di antara Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan agensi dan pihak yang terlibat secara langsung dalam memerangi jenayah tersebut telah diadakan.
Perbincangan ini penting untuk memastikan usaha menangani scam terus diperkukuhkan secara bersama. Matlamat kerajaan ialah memastikan rakyat lebih terlindung manakala negara sentiasa selangkah ke hadapan dalam menghadapi ancaman scam.
Usaha membanteras scam, ia tidak boleh bergerak secara berasingan. Ia memerlukan pendekatan “whole-of-government” (keseluruhan kerajaan) dan “whole-of-nation” (seluruh negara), dengan pembabitan semua agensi penguatkuasaan, institusi kewangan, penyedia platform, dan masyarakat yang memainkan peranan masing-masing.
Yang penting, kita perlu bergerak lebih pantas daripada scammer, bukan sekadar bertindak selepas penipuan berlaku. Saya akui usaha ini bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan tetapi ia tidak mustahil apabila kita menggembleng tenaga.
Perkongsian maklumat, tindakan pantas, dan penyelarasan yang lebih baik antara agensi perlu diperkuatkan supaya kita dapat mencegah penipuan sebelum lebih ramai orang menjadi mangsa.
Sesi ini menghimpunkan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara Malaysia, dan Pasukan Petugas Kebangsaan Menentang Penipuan (NTF) di bawah seliaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM).
Sesi yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Zaliha Mustafa, Pengerusi BBC, menampilkan perkongsian daripada Dr Norhana Endut, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia; DCP Dato’ Shamsul Amar bin Ramli, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman; Syed Ahmad Taufik Albar, Pengerusi NTF; serta Syed Mokhsien Syed Mansor, Ketua Bahagian Operasi Keselamatan Rangkaian (NSOD), SKMM.
Turut hadir adalah Sdri Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi; Sdri Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; bersama Ahli-ahli Parlimen BBC.