Skip to content

AP untuk tauke Melayu kaya, Bumiputera biasa dapat apa?

Dasar membantu Bumiputera sepatutnya membuka peluang kepada mereka yang susah hendak bermula. Tetapi jika modal berbayar minimum untuk menjadi syarikat pemegang permit import kereta ialah RM1 juta, berapa ramai Bumiputera biasa mampu melangkah masuk?

Dasar MITI menetapkan syarikat AP Terbuka mesti dimiliki 100% oleh Bumiputera, manakala AP Francais memerlukan sekurang-kurangnya 70%. Kedua-duanya mensyaratkan modal berbayar minimum RM1 juta.

Nama dasar itu mungkin untuk Bumiputera. Tetapi siapa yang benar-benar mendapat manfaat? Bagaimana dengan Bumiputera yang kekurangan modal dan peluang? Mereka juga mahu berniaga dan memperbaiki kehidupan keluarga, khusunya di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah. Mereka tidak sepatutnya hanya menjadi penonton ketika segelintir Melayu mengumpul kekayaan.

Kebimbangan tentang pengagihan AP ada asasnya. Berdasarkan senarai yang diumumkan kerajaan pada 2005, syarikat berkaitan empat ahli perniagaan memperoleh lebih 28,000 daripada 67,158 AP yang diperuntukkan pada tahun tersebut. Kira-kira 42% tertumpu kepada kelompok berkenaan.

Pada 2014, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengkritik penerima yang mendapat AP secara percuma, kemudian menjualnya dengan pulangan RM8,000 bagi setiap permit, bukannya membina perniagaan.

Itu rekod lama. Jika pengagihan hari ini lebih adil dan manfaatnya lebih meluas, MITI mesti membuktikannya dengan angka. Jangan yang kaya mendapat permit, yang miskin mendapat slogan.

Saya menyeru MITI melaksanakan tiga pembaharuan.

Pertama, mudahkan Bumiputera biasa memulakan perniagaan. Kaji pengurangan syarat ekuiti AP Terbuka kepada 51% supaya Bumiputera kekal sebagai pemegang saham majoriti sambil boleh mendapatkan rakan kongsi yang membawa modal dan kepakaran. Semak juga syarat 70% bagi AP Francais serta keperluan modal.

Kedua, buka semua rekod pengagihan dan kewangan. Umumkan jumlah AP yang diluluskan kepada setiap syarikat setiap tahun. Dedahkan kutipan fi AP Terbuka sejak 2010, jumlah yang dibelanjakan, baki wang dan penerima bantuan. Ambil tindakan tegas terhadap penjualan permit dan kegiatan meminjamkan nama. Rakyat berhak tahu siapa mendapat peluang dan bagaimana wang digunakan.

Ketiga, bentangkan hasilnya di Parlimen. Nyatakan jumlah usahawan Bumiputera baharu yang dibantu dan pekerjaan yang diwujudkan, dengan pecahan mengikut negeri. Adakah peluang sampai kepada Bumiputera di seluruh negara, atau hanya dinikmati kelompok yang sama?

Saya menyokong usaha membantu Bumiputera berdikari. Tetapi jangan jadikan kekayaan segelintir Melayu sebagai bukti bahawa nasib majoriti Bumiputera sudah terbela. Buka peluang untuk mereka, bukan sekadar menjaga kelebihan golongan elit yang sudah berada.