1. Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Malaysia menyatakan sokongan penuh dan menyahut seruan organisasi masyarakat sivil (CSO) untuk berhimpun secara aman dalam demonstrasi menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mafia Korporat serta kempen Hands Off NGO.
2. Pimpinan dan ahli DAPSY akan hadir pada himpunan yang dijadualkan berlangsung pada Ahad 27 September 2026 pada jam 3pm di hadapan SOGO, Kuala Lumpur bagi menyatakan solidariti kami bersama aktivis masyarakat sivil dan NGO.
3. Hal ini seiring dengan pendirian tegas DAP sebelum ini yang telah berulang kali dan secara terbuka mendesak agar RCI Mafia Korporat ditubuhkan, satu pendirian yang juga telah dibangkitkan oleh Setiausaha Agung dan Pengerusi DAP.
4. Sejajar dengan pendirian rasmi parti, DAPSY akan terus membawa isu yang amat penting ini kepada perhatian rakyat melalui apa-apa kaedah yang perlu termasuklah secara perhimpunan aman dan demonstrasi di jalanan.
5. Jika benar wujud ‘tangan-tangan ghaib’ atau dalang yang melindungi amalan salah guna kuasa dan rasuah merentasi sektor negara, pendedahan menyeluruh wajib dilakukan tanpa pilih kasih dan hanya melalui siasatan yang telus menerusi RCI merupakan satu-satunya jalan untuk kita membersihkan serta memulihkan wibawa institusi-institusi penting negara.
6. DAPSY juga berpendirian bahawa aktivis masyarakat sivil dan NGO perlu dilihat sebagai rakan kerjasama dalam agenda reformasi negara, bukannya untuk dimusuhi dan dibungkam dengan menggunakan undang-undang tertentu.
7. Selagi mana teguran dari aktivis sosial masyarakat dan NGO tidak mengapi-apikan sentimen perkauman atau keagamaan, pandangan serta kritikan lantang mereka perlu diraikan dan diterima sebagai cermin renungan demi membina Malaysia yang lebih progresif dan inklusif.
8. Sejarah juga telah membuktikan bahawa tanpa sokongan, keberanian dan usaha pencerahan daripada NGO serta aktivis masyarakat sivil kepada rakyat, skandal-skandal besar negara seperti skandal 1MDB contohnya tidak mungkin dapat didedahkan dan pelakunya dibawa ke muka pengadilan seperti yang kita lihat hari ini.
9. Justeru peranan NGO dan aktivis masyarakat sivil dalam memberi pencerahan adalah pasak utama kepada akauntabiliti negara dan dilihat sebagai pemangkin dalam menjayakan agenda Reformasi selaras dengan teras perjuangan Kerajaan Madani.
10. Atas prinsip kebebasan bersuara, keadilan sosial dan reformasi institusi, DAPSY sekali lagi menegaskan sokongan padu ke atas perhimpunan ini dan menyeru rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebebasan bersuara untuk bersama-sama turun menyatakan pendirian.