Skip to content

Peguam Negara serta Jabatan Peguam Negara harus memberi jaminan bahawa proses perbicaraan dan keadilan akan dipertahankan sepenuhnya

Pada 12 Mac 2015 yang lalu, Puan Eu Pek Boi, isteri kepada En Aw Boon Huat menerima berita bahawa suaminya telah cedera teruk dalam satu kemalangan di Jalan Tasik, Simpang Ampat. Kemalangan ini membabitkan 2 buah motosikal dan mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan perubatan.

Malangnya, selepas 2 hari, En Aw Boon Huat menembuskan nafas terakhir lebih kurang jam 3:00 pagi dan sebab kematian seperti yang dicatat dalam sijil kematian adalah “severe traumatic head injury secondary to motor vehicle accident”.

Jelas ditunjukkan bahawa kematian En Aw Boon Huat disebabkan oleh kemalangan yang telah menimpa dirinya walaupun pihak polis telah memasukkan Seksyen 41(1) dalam laporan mereka. Walau bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya (TPR) Tuan Charanjit Singh a/l Mahinder Singh telah memasukkan pendakwaan penunggang motorsikal yang telah menyebabkan kemalangan maut ini didakwa di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 seperti yang dinyatakan:-

Memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa 43(1) Seseorang yang memandu suatu kenderaan motor di jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya atau tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain yang menggunakan jalan itu melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum denda tidak kurang daripada empat ribu ringgit dan tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan.

Hasil daripada pendakwaan ini adalah walaupun tertuduh telah mengaku bersalah, hanya denda sebanyak RM4000 dikenakan ke atas kesalahan yang begitu berat ini pada 11 Jun 2015 yang lalu.

Timbalan Pendakwaraya Tuan Charanjit Singh yang telah memilih untuk mendakwa tertuduh di bawah seksyen 43(1) sedangkan beliau boleh mendakwa pesalah dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman yang lebih berat dengan kesalahan yang dilakukan jelas menunjukkan bahawa beliau tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada keseriusan ini.

Menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan 41(1) Mana-mana orang yang memandu suatu kenderaan motor di jalan dengan melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang, setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan, dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan yang ada atau mungkin ada di jalan itu) merbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian mana-mana orang, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit.

Oleh itu, memandangkan pesalah telah menyebabkan kematian maka dia patut dihukum dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bukannya Seksyen 43(1) Akta yang sama.

Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa “Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera”.

Dalam erti kata lain, mengikut Perkara 145(3) kuasa Peguam Negara adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa termasuk oleh mahkamah. Maka keputusan untuk menggunakan satu seksyen yang jauh lebih ringan hukumannya berbanding dengan hukuman yang lebih berat ke atas kecuaian jalanraya yang telah mengakibatkan maut.

Dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 12 Februari 2015 dari meja Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, iaitu berkenaan dengan sabitan dan hukuman Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara menjelaskan bahawa budi bicara tersebut hendaklah dijalankan berdasarkan pada fakta dan hal keadaan kes dan bukan dengan sewenang-wenangnya.

Tan Sri Gani Patail menyatakan dalam perkara 5 bahawa “The Public Prosecutor in exercising such discretion will have regard to the facts and circumstances of each case and certainly not at his whims and fancies” yang jelas bererti bahawa Pendakwaraya dalam menjalankan tugasnya hendaklah mengambil kira fakta-fakta setiap kes dan bukanlah mengikut kehendak dan kemahuan beliau sesuka hati.

Saya ingin menekankan keseriusan kes ini dan pada masa yang sama memohon penjelasan daripada Timbalan Pendakwaraya Tuan Charanjit Singh a/l Mahinder Singh, Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang serta Peguam Negara sendiri mengapa tertuduh didakwa di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan bukan Seksyen 41(1) Akta yang sama, walaupun tertuduh telah menyebabkan kematian dalam kemalangan jalanraya?

Dalam nadi yang sama saya ingin menegaskan bahawa memandangkan undang-undang tidak membenarkan seseorang didakwa untuk kali kedua bagi kesalahan yang sama, maka semua kes-kes terutama sekali semua kesalahan yang menyebabkan kehilangan nyawa diberi pertimbangan yang teliti serta budi bicara dan kebijaksanaan Peguam Negara supaya hukuman yang setimpal dijatuhkan “without fear or favour”.

Peguam Negara serta Jabatan Peguam Negara harus memberi jaminan bahawa proses perbicaraan dan keadilan akan dipertahankan sepenuhnya memandangkan Peguam Negara diberikan segala kuasa seperti dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan mengikut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan mana-mana prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Dan Peguam Negara wajib memberi penjelasan mengapa pesalah didakwa dibawah kesalahan yang jauh lebih ringan serta denda minima RM4000 ke atas kesalahan tersebut.

Tanggungjawab untuk menegakkan semangat demokrasi, keadilan serta perbicaraan yang adil terletak diatas bahu Peguam Negara adalah satu amanat yang amat berharga.

Tanggungjawab untuk memulihkan imej serta identiti negara kini, bukan sahaja diatas bahu Perdana Menteri tetapi diatas bahu Peguam Negara sekali.