Skip to content

Pelaburan di Pulau Pinang

Saya tidak akan mengulas kenaikan harga petrol hari ini tetapi berdasarkan beberapa laporan akhbar yang menyatakan pelaburan di Pulau Pinang dalam keadaan kritikal, jelas bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada kenaikan harga gula, petrol, tarif tenaga dan tol jalan raya oleh kerajaan Persekutuan BN. Hal ini berbeza dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak mengenakan apa-apa peningkatan dalam tarif air, cukai tanah dan taksiran pada 2014.

Bagi rekod, saya ingin merujuk kepada satu jawapan bertulis di Parlimen daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Ahli Parlimen DAP Kuching YB Chong Chien Jen pada September tahun lalu,

“Bagi tempoh 2010 hingga Ogos 2013, sejumlah 3,023 projek perkilangan dengan pelaburan berjumlah RM174.3 bilion telah diluluskan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM102.9 bilion (59 peratus) merupakan pelaburan asing, manakala RM71.3 bilion (41 peratus) adalah pelaburan tempatan.

Dalam tempoh yang sama, lima negeri yang mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi adalah:

  • Pulau Pinang (RM19.7 bilion daripada 186 projek perkilangan).
  • Johor (RM16.7 bilion daripada 374 projek perkilangan).
  • Sarawak (RM15.6 bilion daripada 54 projek perkilangan).
  • Selangor (RM15 bilion daripada 439 projek perkilangan).
  • Kedah (RM8 bilion daripada 79 projek perkilangan).

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 pula, sejumlah 463 projek perkilangan dengan pelaburan berjumlah RM29.9 bilion telah diluluskan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM18.8 bilion (62.9 peratus) merupakan pelaburan asing, manakala RM11.1 bilion (37.1 peratus) adalah pelaburan tempatan.

Dalam tempoh tersebut, lima negeri yang mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi adalah:

  • Johor (RM6.6 bilion daripada 63 projek perkilangan).
  • Sarawak (RM4.2 bilion daripada 10 projek perkilangan).
  • Melaka (RM2.7 bilion daripada 10 projek perkilangan).
  • Selangor (RM1.1 bilion daripada 58 projek perkilangan).
  • Pulau Pinang (RM1 bilion daripada 28 projek perkilangan).”

Jelas Pulau Pinang berada dalam kedudukan teratas dalam carta pelaburan dalam tempoh dari tahun 2010 hingga Ogos 2013. Ini adalah bersamaan dengan prestasi tempoh pelaburan lima tahun Pulau Pinang sebanyak RM 36.1 billion bagi tempoh 2008-2012 berbanding tempoh yang sama antara 2003 hingga 2007 yang hanya mencatatkan pelaburan RM18.7 bilion, peningkatan 100% oleh Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang. Tempoh 5 tahun adalah ukuran yang lebih tepat dan selaras bagi prestasi pelaburan daripada sekadar merujuk prestasi satu tahun atau satu bulan tertentu.