Saya menyeru pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk memberi penjelasan kepada para pelajar mengenai kes kematian pelajar UUM yang disyaki berlaku akibat daripada renjatan elektrik. Pada masa yang sama, saya juga mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk segera meluluskan peruntukan agar kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan asrama universiti dan fasiliti lain boleh bermula secepat mungkin.
Baru-baru ini, Student Progressive Front UUM mendedahkan bahawa seorang pelajar yang menghuni di Asrama Sime Darby ditemui maut disyaki akibat kejutan elektrik. Kemalangan maut ini amat membimbangkan para pelajar di dalam dan di luar kampus UUM. Hari ini, pihak UUM menyatakan dalam kenyataan singkat bahawa seorang pelajar telah meninggal dunia dan masih menunggu laporan penuh bedah siasat.
Saya mendesak pihak pengurusan UUM untuk memberi penjelasan penuh kepada para pensyarah dan pelajar berlandaskan prinsip ketelusan, memandangkan insiden ini berkait rapat dengan aspek keselamatan pelajar dan komuniti kampus.
Sekiranya punca kematian pelajar adalah kejutan elektrik, KPT dan UUM perlu menjalankan siasatan dengan segara dan secara menyeluruh untuk mengenal pasti sama ada fasiliti kampus yang lama tidak diselenggara telah mengakibatkan kemalangan ini. Dengan itu, pihak UUM dan KPT boleh mengambil langkah efektif untuk menyelesaikan masalah dan bukannya cuba untuk menyembunyikan kebenaran daripada pelajar dan orang ramai.
Fasiliti universiti yang teruk dan tidak diselenggara selama banyak tahun bukanlah rahsia dalam kalangan pelajar universiti. Walaupun pelbagai masalah dan kemalangan berlaku selama banyak tahun, isu ini masih tidak dipandang serius oleh pihak berkenaan.
Pada tahun 2015, UKM sering menghadapi masalah gangguan bekalan air. Pada 2021, kebakaran berlaku di asrama UUM, di mana puncanya disyaki adalah kabel-kabel elektrik lama telah kerosakan tetapi tidak dibaiki.
Pada bulan April 2022, seorang pelajar USM maut terjatuh dan disyaki memanjat tembok koridor yang lama tidak diselenggara ketika mahu mengambil pakaiannya dari ampaian. Selain itu, pada bulan Mei, kipas dalam sebuah bilik asrama tiba-tiba terbakar, mujurnya, tiada sebarang kemalangan atau kehilangan nyawa berlaku kerana pihak bomba sempat memadamkan api.
Meskipun Menteri KPT Noraini Ahmad telah mengumumkan bahawa semua universiti awam perlu melihat semula aspek keselamatan fasiliti masing-masing, kemalangan yang berlaku satu demi satu telah membuktikan bahawa isu penyelenggaraan fasiliti universiti merupakan masalah serius yang tidak patut dilengahkan lagi. Maka, KPT seharusnya mempercepatkan penyelenggaraan fasiliti dengan segera dan membuang segala karenah birokrasi.
Justeru, saya mengesyorkan kepada KPT agar menetapkan jadual masa yang jelas dan mengarahkan pihak universiti untuk menjalankan penilaian keadaan fasiliti dalam tempoh singkat. Di samping itu, KPT seharusnya meluluskan dan mengagihkan peruntukan dengan secepat mungkin untuk tujuan penyelenggaraan asrama dan fasiliti umum demi menjamin keselamatan dan nyawa pelajar. Inisiatif-inisiatif ini akan memastikan bahawa tragedi yang meragut nyawa pelajar universiti tidak akan berulang lagi.