Skip to content

UUM harus telus dan jujur isu kematian mendiang Vinosiny Sivakumar

Universiti Utara Malaysia tidak boleh berdiam diri dan menyembunyikan fakta sebenar mengenai kes kematian yang melibatkan seorang pelajar tahun dua perakaunan.

Mendiang Vinosiny Sivakumar ditemui mati dalam bilik asramanya pada Sabtu lepas. Walaubagaimanapun pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia masih lagi berdiam diri dan tidak memberikan apa-apa penerangan kepada keluarga mangsa walaupun telah diminta oleh pihak keluarga. Pihak Polis telah mengklasifikasikan kematian mendiang Vinosiny sebagai mati mengejut (SDR). Namun punca kematian sebenar tidak lagi dimaklumkan sehingga kini.

Ada spekulasi bahawa mendiang terkena kejutan elektrik namun masih belum ada yang mensahihkan lagi. Sekiranya insiden ini benar berlaku maka apa sebenarnya yang telah terjadi terhadap fasiliti universiti-universiti di Malaysia? Insiden yang sama pernah berlaku pada 2017 melibatkan seorang pelajar Kolej Matrikulasi Kepala Batas Pulau Pinang yang telah meninggal akibat terkena kejutan elektrik dalam bilik asramanya.

Kementerian Pengajian Tinggi harus tampil menjelaskan apakah sebenarnya bilik-bilik asrama pelajar memang benar selamat untuk diduduki. Adakah pihak kementerian telah mengarahkan bahawa pemeriksaan terperinci berkaitan arus elektrik di dalam bilik asrama mahupun kawasan-kawasan berisiko kepada pelajar dilakukan dengan terperinci sebelum Menteri Pengajian Tinggi membuat keputusan untuk membenarkan pelajar pulang ke kampus setelah lebih 2 tahun bilik asrama tidak diduduki ekoran pembelajaran atas talian dilaksanakan.

DAP Kedah menggesa pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) melakukan siasatan terperinci, adil, telus dan terbuka serta memaklumkan hasil laporan dan penerangan yang tepat kepada keluarga mangsa dengan kadar segera. DAP Kedah juga berharap bahawa tiada apa-apa tindakan sengaja disembunyi atau melindungi sebarang maklumat yang sebenar. Apa-apa jua hasil laporan perlu didedahkan kepada umum sebagai kesedaran dan tindakan langkah awal pencegahan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang kembali.

DAP Kedah bersolidariti bersama keluarga mendiang Vinosiny Sivakumar. Kami harap bahawa pihak keluarga tabah dan bersabar dengan apa yang telah berlaku. Takziah diucapkan.

Universiti seharusnya menjadi tempat selamat untuk para pelajar bukan sebaliknya.