Skip to content

Pelaksanaan Sistem “Single Window, Single Offer” Tidak Memadai DAPSY Gesa KPT Satukan Sistem Kemasukan Universiti sebagai Reformasi Pendidikan Tinggi

1. DAPSY menyeru KPT untuk memulakan kajian menyeluruh dalam usaha menyeragamkan dan menyatukan sistem pra-universiti, terutamanya antara sistem STPM dan Matrikulasi, berdasarkan merit, keadilan sosial dan keperluan (need-based).

2. DAPSY berpendapat bahawa pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di Parlimen baru-baru ini mengenai pelaksanaan sistem “single window, single offer” bagi kemasukan program pra-universiti merupakan satu pelarasan pentadbiran, namun masih jauh daripada perubahan polisi yang mengundang reformasi pendidikan tinggi.

3. Pengenalan sistem “single window, single offer” bagi permohonan kemasukan ke pra-universiti, yang bertujuan mengelakkan pertindihan tawaran kepada pelajar, dilihat dapat mengurangkan pertindihan fungsi dan kerenah birokrasi. Namun begitu, penyesuaian pada peringkat pengurusan ini belum menyentuh isu ketidakadilan struktur dalam sistem kemasukan ke universiti yang telah lama dipersoalkan oleh masyarakat.

4. Menurut laporan media, soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, di Parlimen adalah berkenaan usaha menyeragamkan kurikulum dan standard penilaian antara laluan pra-universiti, khususnya Program Matrikulasi, Asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

5. Namun demikian, jawapan Menteri KPT lebih tertumpu kepada aspek penyelarasan pentadbiran dan sistem tawaran tunggal, tanpa menjawab secara langsung persoalan penyatuan standard akademik. Maka, jawapan yang diberi oleh Menteri KPT menimbulkan tanggapan bahawa isu pokok tidak disentuh secara menyeluruh dan tuntas.

6. Walaupun Menteri KPT menjelaskan bahawa ketiga-tiga laluan tersebut menggunakan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), hakikatnya terdapat perbezaan ketara dari segi struktur kurikulum, kaedah penilaian dan standard pemarkahan.

7. Apabila sistem pra-universiti mempunyai beberapa laluan kemasukan universiti dengan standard akademik dan kaedah penilaian yang berbeza, kenyataan tentang semua laluan menggunakan PNGK serta tawaran program pra-universiti tunggal adalah tidak memadai untuk meredakan kebimbangan masyarakat terhadap keadilan pendidikan.

8. Sekiranya KPT berhasrat melaksanakan reformasi pendidikan tinggi yang menyeluruh, DAPSY menyeru agar KPT bergerak ke arah usaha menyatukan sistem kemasukan universiti secara berperingkat, supaya semua pelajar boleh bersaing berdasarkan standard yang sama untuk memasuki universiti.

9. Dalam masa yang sama, DAPSY juga menegaskan bahawa prinsip keperluan (need-based) juga harus dipertimbangkan bagi memastikan pelajar daripada golongan rentan terus mendapat sokongan dan peluang melanjutkan pengajian.

10. Sejak YB Woo Kah Leong dipilih sebagai Ketua DAPSY Kebangsaan, DAPSY secara konsisten mencadangkan pelan reformasi pendidikan tinggi jangka pendek, sederhana dan panjang.

11. Sebagai reformasi jangka pendek, kerajaan perlu memastikan pelajar STPM yang memperoleh PNGK 4.0 diberikan kursus dan universiti pilihan pertama. Sebagai reformasi jangka sederhana, DAPSY menekankan keperluan meningkatkan ketelusan dalam sistem pra-universiti, termasuk membuka akses data prestasi dan kemasukan kepada umum bagi tujuan analisis, perbincangan, penyelidikan, dan reformasi. Untuk reformasi jangka panjang, DAPSY menyeru KPT untuk membuat kajian menyeluruh dalam usaha menyatukan sistem pra-universiti, terutamanya antara sistem STPM dan Matrikulasi, berdasarkan merit, keadilan sosial dan keperluan (need-based).

12. DAPSY menegaskan bahawa reformasi pendidikan tinggi tidak boleh terhenti pada penyesuaian teknikal semata-mata. Dengan usaha menangani cabaran struktur, meningkatkan ketelusan dan menyatukan sistem kemasukan universiti, Malaysia mampu membina sistem pendidikan tinggi yang lebih adil serta melahirkan graduan berdaya saing di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh daya saing negara dalam jangka panjang.