Skip to content

Chong Zhemin: Obesiti telah menjadi krisis kesihatan peringkat nasional Kerajaan perlu lancarkan “Revolusi Diet Nasional” dan “Gerakan Latihan Kekuatan Nasional”

Tuan Yang di-Pertua,

Malaysia kini sedang menghadapi satu ancaman kesihatan awam yang lebih besar daripada apa yang kita sedari. Obesiti bukan sahaja isu gaya hidup. Ia kini diiktiraf oleh komuniti saintifik global sebagai pandemik tiga serangkai (triple pandemic), kerana ia berkait rapat dengan diabetes, penyakit jantung, dan kanser. Kajian antarabangsa yang diterbitkan dalam jurnal perubatan pediatrik global menyifatkan obesiti sebagai penyakit yang boleh dicegah tetapi sangat mahal kosnya, kerana ia membawa kepada sindrom metabolik, diabetes jenis 2 yang lebih agresif, komplikasi kesihatan sepanjang hayat, dan juga kesan kepada generasi seterusnya melalui perubahan biologi dan epigenetik. Ini bermakna obesiti bukan sahaja memendekkan hayat seseorang, tetapi boleh mewariskan risiko penyakit kepada anak-anak mereka.

Tuan Yang di-Pertua,

Di Malaysia, krisis ini sudah berada pada tahap yang amat membimbangkan, dan merupakan satu krisis nasional yang memerlukan respon yang agresif. Penyata Jawatankuasa Pilihan Kesihatan menunjukkan bahawa 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, dan 15.6 peratus menghidap diabetes. Ini bermakna lebih separuh rakyat kita sedang hidup dengan risiko penyakit kronik. Lebih membimbangkan, laporan tersebut juga menyatakan bahawa ramai rakyat tidak sedar mereka menghidap penyakit ini, menjadikannya satu krisis senyap yang akan meletup dalam bentuk kos kesihatan yang sangat besar pada masa hadapan.

Kita mesti memahami skala sebenar krisis ini. Laporan yang sama memberi amaran bahawa tanpa tindakan segera, kos ekonomi akibat obesiti boleh meningkat sehingga kira-kira empat peratus daripada KDNK negara. Berdasarkan saiz ekonomi Malaysia hari ini, ini bersamaan kira-kira RM70 bilion setiap tahun. Untuk memberi perspektif, keseluruhan bajet tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sekitar RM46.5 bilion. Ini bermaksud kos obesiti dan penyakit berkaitan diet sahaja adalah hampir dua kali ganda daripada keseluruhan bajet Kementerian Kesihatan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

Jika kita bandingkan dengan krisis COVID yang pernah melanda negara kita, kerajaan Malaysia membelanjakan kira-kira RM90 bilion hingga RM100 bilion secara keseluruhan melalui pakej rangsangan dan perbelanjaan kesihatan sepanjang tempoh pandemik. Tetapi obesiti menelan kos sekitar RM70 bilion setiap tahun. Ini adalah kos yang hangus setiap tahun, saban tahun, tanpa henti. Ini bermakna dalam tempoh hanya dua tahun, kos obesiti boleh menyamai keseluruhan kos pandemik COVID yang kita hadapi sekali dalam satu generasi. Namun, tidak seperti COVID, obesiti adalah pandemik yang boleh dicegah.

Tuan Yang di-Pertua,

Namun terdapat satu fakta yang sangat penting. Laporan Jawatankuasa Kesihatan menunjukkan bahawa intervensi pemakanan dan rawatan pemakanan yang betul boleh menjana penjimatan kos kesihatan sehingga enam kali ganda daripada pelaburan yang dibuat. Ini bermakna setiap RM1 yang kita laburkan dalam kesedaran kesihatan boleh menjimatkan RM6 dalam kos rawatan. Jika kita melabur hanya RM5 bilion setahun dalam pencegahan, kita berpotensi menjimatkan RM30 bilion kos rawatan masa hadapan. Ini adalah pelaburan strategik negara dan pulangan pelaburan yang sangat tinggi, jauh lebih tinggi daripada kebanyakan projek fizikal.

Tuan Yang di-Pertua,

Salah satu punca utama ialah diet harian rakyat Malaysia. Kita terlalu bergantung kepada karbohidrat halus, khususnya nasi putih, yang menyebabkan lonjakan gula darah yang cepat dan meningkatkan risiko diabetes. Kita perlu membina kesedaran awam yang tuntas bahawa nasi putih adalah karbohidrat ringkas yang mencetuskan lonjakan glukosa drastik dalam darah, yang menjadi pemacu utama kepada rintangan insulin, diabetes, dan obesiti. Apabila ini berlaku setiap hari selama bertahun-tahun, badan akhirnya kehilangan keupayaan untuk mengawal gula darah dengan baik.

Oleh itu, saya mencadangkan satu Kempen Revolusi Diet Nasional, untuk menggalakkan rakyat menggantikan sebahagian nasi putih dengan alternatif lebih sihat seperti beras perang dan ubi keledek. Makanan ini mengandungi lebih banyak serat, membebaskan tenaga secara perlahan, dan membantu menstabilkan paras gula darah. Kerajaan boleh memperkenalkan subsidi, kempen kesedaran, dan reformasi menu di sekolah, hospital, dan kantin kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua,

Namun diet sahaja tidak mencukupi. Kita juga mesti menangani satu lagi masalah besar, iaitu kehilangan jisim otot atau sarcopenia dalam kalangan rakyat Malaysia. Laporan kesihatan menunjukkan bahawa kehilangan otot boleh bermula seawal umur 40 tahun, dengan kehilangan 3 hingga 5 peratus setiap dekad, dan ini meningkatkan risiko komplikasi kesihatan serta kemasukan hospital. Inilah sebabnya kita mesti melancarkan Kempen Nasional Latihan Kekuatan.

Hari ini, ramai rakyat hanya melakukan senaman kardio seperti berjalan atau berjoging. Walaupun ini baik untuk jantung, kardio sahaja tidak mencukupi untuk meningkatkan metabolisme jangka panjang. Latihan kekuatan membina jisim otot, dan otot meningkatkan kadar metabolisme asas badan. Ini bermakna badan membakar lebih banyak kalori sepanjang masa, walaupun ketika duduk atau tidur. Dengan lebih banyak otot, badan menjadi lebih cekap membakar lemak.

Latihan kekuatan juga meningkatkan sensitiviti insulin, membantu badan mengawal gula darah dengan lebih baik, dan mengurangkan risiko diabetes. Ia meningkatkan kekuatan tulang, mengurangkan risiko osteoporosis, dan membantu warga emas kekal berdikari tanpa bergantung kepada penjagaan hospital. Lebih penting, latihan kekuatan membantu mencegah apa yang kita lihat hari ini, iaitu rakyat yang semakin tua tetapi semakin lemah, semakin sakit, dan semakin bergantung kepada sistem kesihatan.

Tuan Yang di-Pertua,

Kita kini berhadapan dengan satu pilihan yang jelas. Kita boleh terus membayar RM70 bilion setiap tahun untuk merawat penyakit, atau kita boleh melabur sebahagian kecil daripada jumlah itu untuk mencegah penyakit. Kita mesti melancarkan revolusi diet nasional dan Kempen Nasional Latihan Kekuatan. Kita mesti mempromosikan makanan yang lebih sihat seperti beras perang dan ubi keledek. Kita mesti membudayakan latihan kekuatan di seluruh negara, membina rakyat yang lebih kuat, lebih sihat, dan lebih produktif.

Jika kita gagal bertindak, kos akan terus meningkat. Jika kita bertindak sekarang, kita boleh mengurangkan diabetes, mengurangkan obesiti, menjimatkan berbilion ringgit dana awam, dan meningkatkan produktiviti negara. Setiap ringgit yang kita laburkan dalam pencegahan akan memberikan pulangan berkali ganda. Tetapi paling penting, kita akan memberikan rakyat Malaysia sesuatu yang tidak ternilai, iaitu kehidupan yang lebih panjang, lebih sihat, dan bermaruah.

Terima kasih.