Skip to content

Pemerdagangan orang: Pinda Akta berkali-kali tidak guna jika tidak pecahkan sindiket “orang dalam”

Pada tahun 2014, Amerika Syarikat telah menurunkan kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2014 Jabatan Negara Amerika Syarikat ke kategori paling bawah Tahap 3 (Tier 3) untuk “negara di mana kerajaannya tidak memenuhi piawaian minima Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000 (AS), dan tidak mengambil usaha serius untuk memenuhi piawaan tersebut.”

Laporan itu menyatakan kewujudan buruh paksa dan perdagangan seks (sex trafficking) di Malaysia dan ia juga menyatakan bahawa mangsa pemerdagangan orang merupakan sebahagian besar daripada 2 juta buruh migran tanpa permit di negara ini.

Pada awal tahun 2014, satu laporan khas Reuters mendedahkan keseriusan aktiviti pemerdagangan orang di negara kita terutamanya di utara Semenanjung Malaysia di negeri-negeri seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang (Sumber: http://uk.reuters.com/article/2014/03/06/uk-malaysia-rohingya-exclusive-idUKBREA2504Y20140306).

Adakah pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sekadar “melayan” Amerika Syarikat?

Apa yang dikhuatiri ialah, pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 adalah sekadar melayan Amerika Syarikat semata-mata dan kerajaan Malaysia tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah serius tersebut.

Bagi mereka yang mengikut perkembangan perkara ini, ada satu perasaan “deja vu”. Pada tahu 2007, Malaysia mendapat kedudukan Tier 3, maka kerajaan telah menggubal Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Kedudukan negara kita kemudiannya meningkat ke Tier 2.

Tidak sampai 2 tahun, pada 2009, Malaysia sekali lagi jatuh ke kedudukan Tier 3, maka kerajaan ketika itu meminda Akta Antipemerdagangan Orang 2007 pada tahun 2010 untuk menjadi akta masa kini iaitu, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran. Pada masa yang sama, kerajaan juga telah melancarkan Pelan Antipemerdagangan Orang Kebangsaan 2010-2015. Kedudukan Malaysia meningkat ke Tier 2 pada tahun 2010.

Belum sempat sampai 2015, dalam empat tahun sahaja, Malaysia merosot sekali lagi ke Tier 3 pada tahun 2014, dan kini berulang-lah proses meminda Akta supaya tahun depan markah kita menjadi lebih baik.

Penglibatan “orang dalam” dalam aktiviti pemerdagangan orang?

Tidak berguna jika Akta dipinda berkali-kali jika kerajaan tidak meningkatkan usaha memecahkan sindiket “orang dalam”.

Laporan Harian Metro pada 13 Mei tahun ini memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata bahawa Polis Diraja Malaysia tidak menolak kemungkinan pembabitan “orang dalam” berkait rantaian sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia membabitkan laluan sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di utara Semenanjung. (Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/50565)

Ini sekaligus mengesahkan dakwaan laporan Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat (US Senate Foreign Relations Committee) pada April 2009 bahawa ada pembabitan pegawai Imigresen Malaysia dalam aktiviti pemerdagangan orang.

Namun sehingga kini, masih belum ada lagi apa-apa tangkapan “orang dalam” ini.

Jurang angka rasmi kemasukan migran ke Malaysia timbulkan soalan adakah pegawai Imigresen terlibat?

Pada tahun lepas, saya telah membangkitkan satu isu yang amat serius dalam Parlimen, iaitu, saya telah mendapati wujud satu jurang besar dalam angka rasmi kemasukan warga migran ke Malaysia.

Mengikut Laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015 (m/s 609), sebanyak 1,386,591 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada tahun 2013.

Mengikut perjanjian “Sistem Biometrik Warga Asing dan Sistem Sekuriti Nasional Nexcode” (NERS), sistem yang merekod kemasukan warga asing ke dalam negara kita, kerajaan akan membayar RM50 untuk satu pas yang dikeluarkan, maka jumlah bayaran kepada syarikat NERS sepatutnya ialah RM69.3 juta bagi tahun 2013.

Namun, daripada Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2013 (m/s 199), saya mendapati kerajaan telah membayar syarikat NERS sebanyak RM105.2 juta.

Mengapa ada jurang perbezaan kos tersebut sebanyak RM35.9 juta? Adakah ini terlebih bayar ataupun bayaran-bayaran lain yang tidak diumumkan? Ataupun lebih menakutkan lagi, terdapat lebih kurang 718,000 pendatang asing yang telah terlepas dari rekod Jabatan Imigresen Malaysia walaupun pas sudah dikeluarkan dan wang sudahpun dibayar kepada syarikat NERS?

Ini merupakan suatu perkara serius, kerana tak kiralah terlebih bayar RM35.9 juta ataupun terlepas rekod 718,000 pendatang asing, ia mencerminkan kegagalan sistem kerajaan yang telah menelan belanja berbilion ringgit untuk dilaksanakan. Kegagalan ini juga membangkitkan persoalanan sama ada terdapat pegawai yang berkomplot dalam aktiviti menyeludup manusia ke dalam negara ini.

Jangan hanya buat pembaharuan kosmetik untuk membodek Amerika

Apa gunanya jika ini sekadar pembaharuan kosmetik dan sekadar melayan laporan Amerika Syarikat jika tiada komitmen serius daripada kerajaan untuk mengawal sempadan kita serta memecahkan sindiket “orang dalam” yang terlibat dalam aktiviti durjana pemerdagangan orang.

Kerajaan perlu sedar, ini bukan sahaja isu hak asasi manusia di mana nyawa manusia dijual beli, didera dan diesploitasi. Dua juta migran tanpa dokumen ini termasuklah mangsa-mangsa pemerdagangan orang sudah tentu akan membawa kesan kepada rakyat Malaysia.