Dalam jawapan kepada soalan saya di Parlimen, Menteri bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen, Datuk Seri Shahidan Kassim telah menafikan hak para pengundi untuk diberi maklum tentang bagaimana wakil mereka mengundi di Dewan Rakyat. (http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/no-need-to-know-how-mps-vote-in-dewan-rakyat-says-shahidan)
Saya langsung tidak terkejut kerana Speaker Dewan Rakyat sendiri pun pernah menyebut bahawa Parlimen kini dilihat sebagai sekadar berfungsi memberi kelulusan segera (Rubber Stamp) kepada kehendak dan keputusan kerajaan. (http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/i-wanted-to-resign-because-parliament-seen-as-rubber-stamp-says-pandikar).
Pun begitu, saya memikul tanggungjawab dan amanah, seperti yang telah dimandatkan oleh pengundi; maka saya mesti bertanya kepada Shahidan sama ada beliau merasakan Parlimen itu milik peribadi beliau atau mana-mana anggota keluarganya.
Beliau tidak berhak merompak dan menafikan hak pengundi untuk tahu bagaimana Ahli Parlimen mereka berfungsi dan mengundi di Parlimen. Ini Dewan Rakyat, bukan ‘Dewan Shahidan’.
Malah seluruh anggota menteri Kabinet turut bertanggungjawab terhadap rakyat untuk menentukan sama ada jawapan Shahidan itu adalah keputusan Kabinet secara kolektif. Jika benar, apalah yang demokratiknya Parlimen Malaysia ini.
Akhir sekali saya ingin bertanya kepada Speaker Dewan Rakyat yang baru-baru ini tidak jadi letak jawatan, adakah beliau bersetuju dengan Shahidan?
Jika beliau tidak setuju, Speaker sepatutnya menggunakan mandatnya sebagai pengerusi mesyuarat untuk menegur Shahidan supaya tidak mencuba untuk masuk campur dalam urusan aturan Dewan.