Saya merujuk kepada laporan media tentang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan Saudara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengisytiharkan harta dalam siasatan kehilangan wang yang dilaporkan oleh beliau sendiri.
Pertama sekali, saya yakin Saudara Syed Saddiq tiada masalah untuk mengisytiharkan harta beliau. Semasa pentadbiran kerajaan persekutuan Pakatan Harapan, semua anggota pentadbiran dan Ahli-ahli Parlimen diwajibkan untuk mengisytiharkan harta kami masing-masing.
Semua maklumat perisytiharan harta tersebut kemudiannya dipaparkan atas talian kepada orang awam oleh SPRM.
Saya percaya, seperti saya, Saudara Syed Saddiq telah mengisytiharkan harta sekurang-kurangnya dua kali dalam 22 bulan pentadbiran kerajaan persekutuan Pakatan Harapan.
Justeru, there is nothing to hide, berani kerana benar!
Keduanya, sepanjang tempoh kami berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Saudara Syed Saddiq selaku Menteri KBS telah melaksanakan dasar integriti dengan tegas.
Sebulan selepas kami diberi amanah di KBS, Saudara Syed Saddiq telah mengumumkan lima pelan integriti, iaitu,
- pelaksanaan tender terbuka untuk semua perolehan kementerian,
- pengauditan forensik setiap jabatan dan agensi kementerian,
- pelaksanaan laporan mitigasi risiko rasuah,
- penempatan pegawai SPRM di pejabat kementerian yang melapor terus kepada SPRM,
- perisytiharan harta pegawai di pejabat menteri.
Pada Julai 2018, kami telah mewarisi kementerian yang berada dalam “top ten” (no. 8 secara khususnya) kementerian paling berisiko tinggi dalam isu rasuah dan penyelewengan mengikut penilaian SPRM dalam Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam.
Apabila kami tamat perkhidmatan pada Februari 2020, KBS telah mencatat penambahbaikan daripada no. 8 kepada no. 16, dan diiktiraf sebagai kementerian yang mempunyai risiko rasuah yang rendah.
Ketiganya, saya tidak faham mengapa Syed Saddiq yang membuat laporan kehilangan wangnya kini disiasat pula?
Jika yang hilang itu wang haram, masakan laporan polis dibuat oleh Syed Saddiq sendiri? Namun begitu, saya yakin Saudara Syed Saddiq akan menghormati proses perundangan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Apa yang saya khuatir ialah Saudara Syed Saddiq menjadi mangsa penganiayaan politik di kala kerajaan Perikatan Nasional menghadapi tekanan berdepan sidang Parlimen 18 Mei 2020 nanti.
Akhir sekali, saya menyeru agar pihak berkuasa menumpukan perhatian kepada siasatan laporan kehilangan wang Syed Saddiq; tangkaplah pencuri, bukan menyiasat si mangsa kecurian yang melapor polis.