Skip to content

Penduduk rumah panjang berhak mendapat yang lebih baik: Mengapa menempatkan mereka di blok rumah pangsa sedangkan mereka berhak memiliki rumah atas tanah?

Berdasarkan keputusan penting yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang membatalkan Kebenaran Merancang (DO) melibatkan Taman Rimba Kiara, saya menyeru Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan untuk bersama saya membayangkan sebuah tempat tinggal di mana keluarga rumah panjang ini, baik yang muda mahupun yang tua dapat memanggilnya rumah.

Kebenaran Merancang tersebut melibatkan pembinaan sebuah blok rumah pangsa bagi menempatkan 98 buah keluarga rumah panjang. Saya ulangi pendirian saya bahawa keluarga rumah panjang ini berhak mendapat kediaman yang kekal dan lebih baik. Malah, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk membina rumah mampu milik dengan berkepadatan rendah dan kekal untuk mereka di atas tapak sedia ada tanpa perlu mengorbankan taman rekreasi. Keluarga rumah panjang ini telah membina kehidupan mereka di atas tapak sedia ada selama hampir 40 tahun dan telah membina hubungan yang erat dalam komuniti mereka dan antara generasi dari semasa ke semasa.

Sukarelawan professional dari Save Taman Rimba Kiara Group dengan pengetahuan yang mereka ada mengenai kawasan ini telah mengemukakan cadangan bagaimana rumah atas tanah dapat dibina di atas tapak sedia ada dan bagi saya, ianya wajar demi kepentingan dan kesejahteraan keluarga rumah panjang. Mereka tidak perlu risau mengenai masalah perkhidmatan penyelenggaraan termasuk pembayaran caj bulanan pada masa akan datang.

Selari dengan inisiatif ‘Wilayah Prihatin’, sudah tiba masanya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan mengutamakan dan memikirkan kepentingan, kesejahteraan dan kebajikan keluarga rumah panjang dengan menyediakan kediaman yang lestari dan kekal di atas tapak sedia ada tanpa perlu berlengah lagi. Berhentilah menggunakan mereka sebagai alasan untuk membina kondominium mewah. Mereka berhak mendapat yang lebih baik.