TIADA PERGERAKAN, TIADA JANGKITAN!
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Pandemik COVID-19 yang berlangsung secara sidang video pagi ini memberi penekanan terhadap usaha mengetatkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari ini.
Serentak itu, turut diketengahkan adalah beberapa keputusan yang perlu disegerakan pada peringkat negeri dan juga Persekutuan dalam memperkasakan pembekalan logistik sedia ada khususnya pada aspek perubatan iaitu penggunaan kemudahan-kemudahan pelancongan seperti hotel sebagai pusat kuarantin; pelaksanaan saringan massa (mass testing) dengan kerjasama pihak swasta; maklum balas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Seberang Perai Selatan (SPS) dan kerjasama dengan hospital-hospital swasta menerusi ketetapan Ordinan Darurat.
Sebagai tambahan, turut dimaklum dan diputuskan adalah:-
- Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan bahawa terdapat tujuh (7) kluster aktif sehingga 4 Februari 2021. Bagi mengendalikan penilaian pesakit yang menjalani rawatan di rumah, sebanyak 27 buah Pusat Penilaian COVID-19 (Covid-19 Assessment Centre, CAC) telah diwujudkan termasuk secara pandu lalu (drive through);
- JKNPP melaporkan seramai 47,446 warganegara asing berdaftar di bawah Program Saringan COVID-19 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tidak berdaftar (inisiatif majikan sendiri) telah menjalani saringan sehingga tempoh 4 Februari 2021. Para majikan adalah diseru untuk meneruskan inisiatif saringan dalam kalangan pekerja manakala kekangan kos serta penyediaaan stesen kuarantin yang dihadapi akan diusahakan pihak-pihak berkaitan dengan sebaik mungkin;
- Pelan Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 sebagai keseragaman bekalan vaksin ke negeri ini sedang berjalan dengan JKNPP berperanan untuk meneliti spesifikasi logistik seperti dewan-dewan bakal digunakan, barisan sukarelawan dan tiga (3) fasa pelaksanaan yang dijangka akan dimulakan pada penghujung bulan ini;
- Mengaktifkan jawatankuasa dan kumpulan kerja pemerkasaan komuniti terutamanya pada peringkat daerah bukan hanya memfokuskan kepada penguatkuasaan serta pencegahan malah juga kempen-kempen komunikasi iaitu penyampaian keseragaman informasi memfokuskan kawasan-kawasan berisiko tinggi atau ‘hotspots’ pada peringkat lokaliti secara menyeluruh;
- Mengambil maklum berhubung rayuan sektor-sektor peruncitan serta perdagangan untuk beroperasi dan ia akan dipanjangkan serta dibincang dengan lebih lanjut di peringkat Persekutuan bagi menyelaraskan SOP sedia ada supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umum.
Umumnya, Kerajaan Negeri mahu komuniti serta individu memainkan peranan masing-masing kerana pendirian dan sikap kita sendiri terutamanya berhubung pematuhan SOP merupakan ‘vaksin’ paling berkesan ke arah memutuskan rantaian perebakan pandemik ini.
VIRUS DI DEPAN PINTU ANDA, PEMATUHAN SOP ADALAH VAKSIN TERBAIK!