Setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu mengoptimumkan kapasiti pengoperasian masing-masing bagi memastikan Pulau Pinang mampu mencapai kadar suntikan dua dos vaksin 40 peratus dan seterusnya beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bulan Ogos 2021.
Berdasarkan operasi PPV kini, kapasiti maksimum dos harian adalah mampu dan perlu mencecah sekurang-kurangnya 20,000 suntikan. Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama-sama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau COVID-19 Immunisation Taskforce (CITF) Peringkat Negeri Pulau Pinang perlu memastikan sasaran tersebut dicapai. Malah, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan COVID-19 yang bersidang pagi ini turut dimaklumkan bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 3 bagi negeri Pulau Pinang juga telah bermula pada minggu ini.
Bagi memastikan hasrat peralihan ke Fasa 3 PPN tercapai, saya menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang supaya bersama-sama berganding bahu memastikan dua (2) lagi indikator ambang iaitu purata tujuh (7) hari kes harian dan keupayaan sistem kesihatan awam di bawah PPN terus berada di bawah paras ditetapkan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri turut memberi komitmen untuk mengambil tindakan tegas terhadap premis termasuk kilang-kilang yang didapati memalsukan maklumat untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).