Skip to content

Segerakan pemberian vaksin kepada pengusaha IPS dan pusat asuhan

Segerakan Pemberian Vaksin Kepada Pengusaha IPS dan Pusat Asuhan

1. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus menyegerakan pemberian vaksin kepada para pengusaha Institusi Pendidikan Swasta (IPS) dan pusat asuhan kanak-kanak. Setakat ini, IPS di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pusat asuhan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar senarai kakitangan mereka kepada pihak yang berkaitan, namun tiada maklum balas yang diterima sehingga kini. Pemberian vaksin dengan segera sangat penting. Walaupun perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah telah dihentikan, namun perkhidmatan penjagaan Tadika, Taska dan Pusat Jagaan Kanak-kanak (termasuk mereka yang berumur 7-12 tahun) amat diperlukan oleh ibu bapa yang bekerja sebagai petugas barisan hadapan atau dalam perkhidmatan perlu.

Selaraskan Semula SOP dan Kaedah Pengoperasian

2. Kerajaan PN digesa untuk menyelaraskan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kaedah pengoperasian Tadika, Taska dan Pusat Jagaan. Kebenaran pengoperasian Tadika, Taska dan Pusat Jagaan dalam semua fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak selari di antara KPM dan JKM telah menimbulkan banyak kekeliruan di kalangan para pengusaha dan ibu bapa.

Sediakan Perkhidmatan Asuhan dan Penjagaan Kanak-Kanak

3. Perkhidmatan asuhan dan penjagaan kanak-kanak harus disediakan kepada ibu bapa yang tidak dapat menjaga anak-anak mereka dengan sempurna kerana bebanan kerja yang masih berjalan dalam tempoh PKP. Mereka tidak dapat menjaga anak-anak dengan baik memandangkan tugas rasmi yang perlu dilaksanakan. Kanak-kanak juga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 sekiranya mereka terpaksa dihantar ke rumah pengasuh yang tidak melaksanakan SOP sepertimana IPS dan Pusat Jagaan dan Pusat Asuhan yang berdaftar.

Keperluan Mewujudkankan One-Stop Educare

4. Sejak perlaksanaan PKP 1.0 sehingga kini, pengusaha pusat tuisyen juga tidak mendapat sebarang bantuan kewangan daripada pihak Kerajaan. Ramai yang terpaksa menghentikan operasi mereka. Pusat tuisyen perlu dikategorikan sebagai institusi yang memberikan perkhidmatan Educare (Education and Childcare) memandangkan ianya adalah keperluan kedua-dua ibu bapa yang bekerja. Anak-anak berumur 7-12 tahun yang dihantar ke pusat tuisyen dan pusat jagaan di premis serta lokasi yang berasingan sememangnya tidak lagi sesuai buat masa kini. Hari ini ibu bapa amat memerlukan perkhidmatan yang berfungsi seperti One-Stop Educare untuk anak-anak mereka.