Skip to content

Pengumuman PKP mesti bersekali Pakej Bantuan

Negara kita telah merekodkan jumlah kes tertinggi Covid – 19 iaitu 9,020 kes serta 98 kematian. Angka ini merupakan angka terbesar yang pernah dicatatkan sejak pandemik ini melanda negara Januari tahun lepas. Akibatnya, hampir seluruh negara telah kehilangan zon hijau dan digantikan dengan zon kuning dan merah.

Kenaikan kes kali ini amat membimbangkan kerana ia kini sudah berada di dalam komuniti dan bukan hanya kluster tertentu. Malah, terdapat mereka yang berpositif tetapi tidak bergejala dan munculnya varian baharu yang sifatnya lebih cepat merebak.

Sehari sebelum angka ini direkodkan, Perdana Menteri membuat pusingan U dengan mengisytiharkan semula Perintah Kawalan Pergerakan berstatus “full lockdown” bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini. Pengisytiharan ini sekaligus membuatkan rakyat terkejut dan panik sehingga menimbulkan panic buying di pasaraya – pasaraya seluruh negara. Rakyat juga tertanya – tanya apakah PKP kali ini akan mengulangi PKP pertama dahulu di mana semua sektor ditutup dan rakyat tidak dibenarkan keluar. Sehingga hari ini, SOP yang khusus juga masih belum dikeluarkan oleh kerajaan.

Pada hemat saya, dengan angka yang tinggi pada saat ini, PKP menyeluruh serta penutupan semua sektor ekonomi amat wajar untuk dilaksanakan. Berbalik kepada pelaksanaan PKP pertama dahulu, semua pihak dikehendaki duduk di rumah dan kurangkan pergerakan keluar yang boleh menyebabkan virus ini merebak. PKP pertama telah membuktikan kejayaan apabila negara berjaya mencatat 0 angka kes setelah 2 bulan dilaksanakan.

Namun, tidak dinafikan, rakyat terutama golongan B40, M40, dan sektor ekonomi negara akan teruk terjejas. Kerajaan boleh melaksanakan beberapa inisiatif tertentu untuk memastikan seluruh lapisan masyarakat tidak terjejas dengan mengagihkan bantuan berupa “bakul makanan” kepada setiap rumah. Bantuan ini merangkumi bahan keperluan asas seperti beras, telur, ayam, sayuran, ikan dan bahan mentah lain. Pemberian bakul ini dilihat agak praktikal kerana boleh mengelakkan sebahagian besar rakyat keluar rumah.

Kerajaan boleh menggerakkan agensi sedia ada seperti Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Daerah, Pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pimpinan masyarakat untuk membantu mengagihkan bantuan ini di kawasan masing – masing. Selain itu, kerajaan boleh bekerjasama dengan agensi penghantaran seperti POS Malaysia dan Food Panda untuk turut sama membantu dalam pengagihan ini.

Saya juga menggesa kerajaan untuk memperkenalkan semula moratorium dan penangguhan bayaran hutang pinjaman selama 3 bulan di samping memperkenalkan pakej kewangan yang lebih bersasar kepada semua golongan yang terjejas. Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan pejabat ahli parlimen serta dewan undangan negeri tanpa mengira kerajaan atau pembangkang dalam menyalurkan bantuan kewangan dan info yang tepat tentang program vaksinasi.

Kenyataan ini dibuat kerana merasakan kita seharusnya lebih serius dan bersatu dalam melawan covid – 19. Penutupan sektor ekonomi bukanlah bermaksud kehancuran ekonomi kerana ia boleh dibina semula selepas ini tetapi nyawa rakyat tidak boleh diganti semula. Hakikatnya, Ini adalah masa yang kritikal buat semua rakyat Malaysia. Kita ketepikan dahulu perbezaan politik kerana virus ini tidak menyerang tidak kira fahaman politik, agama, mahupun bangsa.

Semoga Negara kita cepat sembuh dan semoga Tuhan merahmati Malaysia.