Skip to content

Peningkatan harga rumah RM30 ribu membebankan golongan miskin

Manakah hala tuju negara dalam sektor perumahan? Harga rumah semakin meningkat dan menimbulkan kebimbangan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kenaikan harga rumah secara terus menerus menyebabkan golongan berpendapatan rendah tidak boleh memiliki rumah sendiri. Mereka tinggal di rumah sewa kerana tidak mampu membeli rumah dengan harga yang tinggi.

Menurut Laporan Pasaran Harta 2014, harga purata rumah di Malaysia telah meningkat sebanyak RM30,000. Pada tahun 2013, harga purata sebuah rumah adalah RM266,304. Manakala pada akhir tahun 2014, jumlah itu telah meningkat kepada RM295,345.

Peningkatan harga purata sebanyak RM30,000 adalah terlalu mendadak dalam tempoh masa yang singkat iaitu satu tahun. Jika keadaan ini berterusan, maka golongan berpendapatan rendah akan menghadapi masalah dalam memiliki rumah sendiri.

Orang-orang yang kaya pula akan menikmati keuntungan besar daripada situasi ini. Mereka juga akan terus berusaha menambahkan harta jauh lebih banyak berbanding dengan golangan sederhana dan miskin. Ini akan meningkatkan lagi jurang perbezaan kekayaan diantara golongan berada dan golongan miskin di negara ini.

Dikatakan sebanyak 250 ribu transaksi pembelian rumah dilakukan sepanjang tahun 2014 yang bernilai RM82.06 bilion. Daripada jumlah itu, berapakah unit rumah yang dibeli oleh golongan berpendapatan rendah. Persoalan ini perlu dijawab jika kita benar-benar ingin membantu golongan miskin untuk memiliki rumah sendiri. Kerajaan harus memastikan supaya golongan miskin tidak tertindas daripada peningkatan harga rumah.

Saya juga tertarik dengan dasar kerajaan untuk membina 653 ribu unit rumah mampu milik pada Rancangan Malaysia Ke Sebelas. Tetapi, adakah sasaran ini boleh dicapai dalam keadaan ekonomi yang semakin meleset dan kucar kacir. Peningkatan harga disebabkan oleh GST juga akan memberi kesan kepada peningkatan harga rumah pada masa akan datang. Bagaimanakah kerajaan akan memastikan supaya semua lapisan masyarakat memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan mereka?