Skip to content

Jangan lupa Altantuya, berani buka fail, dedahkan motif pembunuhan

Setiap hari perkara baru yang menakjubkan berlaku di negara kita. Seolah-olah kita sedang menonton filem yang penuh dengan aksi-aksi hebat tetapi tidak masuk akal. Pengarah filem dan pelakon-pelakon menganggap orang yang menonton itu adalah bodoh dan tidak rasional. Mereka terus melakukan perkara-perkara yang pelik boleh menggugatkan kestabilan negara.

Saya cuma hendak mengingatkan kepada pelakon-pelakon ini bahawa rakyat negara kita sudah matang. Mereka dapat menilai yang mana yang benar dan yang mana yang palsu. Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pelakon utama telah melakukan beberapa adengan yang memeranjatkan seluruh rakyat Malaysia dan penonton-penonton antarabangsa.

Perdana Menteri telah melucutkan jawatan Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail. Kenapa tindakan ini diambil? Beliau akan bersara dalam tempoh 2 bulan lagi. Tetapi, tiba-tiba beliau dipecat dengan alasan kesihatan. Pemecatan juga tidak mematuhi peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari jawatannya secara tiba-tiba. Apakah kesalahanya yang menyebabkan beliau diambil tindakan yang begitu keras sekali? Seorang Timbalan Perdana Menteri telah hilang hak kebebasan bersuara di negara kita.

Perlantikan timbalan-timbalan menteri daripada anggota PAC juga telah menggugatkan siasatan yang sedang dijalankan mengenai isu 1MDB. Tindakan ini nampaknya dilakukan semata-mata dengan niat mengganggu siasatan yang dilakukan. Jelas bahawa Perdana Menteri berniat memberhentikan siasatan PAC sehingga perlantikan anggota-anggota baru. Perlantikan baru hanya boleh dibuat dalam persidangan parlimen pada bulan oktober nanti.

Sehari selepas rombakan kabinet, tiba-tiba rakyat dikejutkan dengan peristiwa kebakaran di Bukit Aman. Yang lebih memeranjatkan lagi ialah kenyataan Ketua Polis Negara yang secara spontan mengumumkan bahawa hanya fail-fail yang tidak mustahak termusnah dalam kebakaran itu. Pertama sekali, bagaimana beliau tahu bahawa fail-fail yang termusnah itu tidak mustahak? Kedua, adakah Bukit Aman, merupakan Ibu Pejabat Polis menyimpan bahan-bahan yang tidak mustahak di dalam bangunannya?

Rakyat berasa pelik dengan adengan-adengan daripada watak-watak utama negara kita yang menganggap rakyat boleh diperdayakan dengan lakonan mereka.

Walaupun seluruh rakyat ingin mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku dalam isu 1MDB , saya juga ingin mengingatkan kembali satu lagi peristiwa yang kurang mendapat perhatian pada masa ini. Kita tidak boleh membiarkan dan melupai peristiwa pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya. Pembunuhan beliau masih kabur sehingga hari ini.

Dalam satu jawapan lisan yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hasil siasatan polis tidak menunjukkan penglibatan orang lain selain Azilah Hadri dan Sirul Azhar. Kalau benar itulah jawapannya, kerajaan juga perlu menjawab motif pembunuhan tersebut. Setakat ini motif pembunuhan Altantuya masih belum didedahkan lagi. Adakah kerajaan cuba menutup sesuatu atau seseorang yang terlibat dengan pembunuhan tersebut. Rakyat negara kita dan seluruh dunia berhak mengetahui motif sebenar pembunuhan Altantuya. Persoalannya, adakah kerajaan sanggup dan bersedia membuka semula fail kes Altantuya supaya perkara sebenar mengenai kes ini diperincikan dan didedahkan. Rakyat tidak mahu Peguam Negara menjadi budak suruhan kepada mana-mana pihak dalam menutup bukti-bukti tertentu.