Pengumunan kadar tarif baru air yang akan mula berkuatkuasa mulai 1hb Ogos 2015 esok oleh Syarikat Air Johor (SAJ) adalah sangat mengejutkan. SAJ telah mendapat kebenaran dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk meningkatkan kadar air di seluruh negeri Johor untuk setiap jenis pengguna dan tahap penggunaan. Kadar tarif air untuk pengunaan domestik melambung sebanyak 33% dari RM 0.60 setiap meter padu kepada RM 0.80 setiap meter padu untuk 20 meter padu pertama. Sila rujuk jadual 1 untuk untuk perbandingan kadar tarif air domestik sebelum dan selepas pelarasan.
| Kadar tarif sekarang (RM/m3) | Kadar tarif baru mulai Ogos 1 2015 (RM/m3) | % Kenaikan | |
| 0 – 20 m3 | 0.60 | 0.80 | 33% |
| 20 – 35 m3 | 1.65 | 2.00 | 21% |
| > 35 m3 | 2.96 | 3.00 | 1% |
Jadual 1: Perbandingan kadar tarif air domestik sebelum dan selepas pelarasan
Tindakan pihak SAJ megenakan kenaikkan tarif setinggi 33% untuk kelas penggunaan yang terendah (0-20 m3) manakala 1% untuk kelas penggunaan yang tertinggi (lebih daripada > 35 m3) adalah regresif dan tidak wajar sama sekali. Regresif kerana sepatutnya mereka yang menggunakan banyak air adalah sama ada kerana mempunyai rumah yang besar ataupun gaya hidup yang mewah sepatutnya memikul kadar peningkatan yang lebih banyak. Menurut sumber dari Syarikat Air Johor, 80% akaun pengguna air tidak menggunakan lebih daripada 35 m3 setiap bulan. Saya cukup hairan bagaimana SAJ dengan kebenaran Kerajaan Negeri Johor dan SPAN di bawah Kerajaan Persekutuan boleh mengambil langkah yang begitu menindas golongan rakyat biasa. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sepatutnya dasar yang digubal berkenaan penggunaan air adalah cenderung kepada memberi galakan dan insentif kepada pengguna yang berhemah dan berjimat manakala memberi hukuman kepada pengguna yang membazir.
Apakah tujuan peningkatan kadar tarif air?
Selain peningkatan yang mendadak dan berbentuk regresif, saya juga mempersoalkan tindakan SAJ ini kerana setakat ini bisnes monopoli untuk merawat dan menjual air di negeri Johor sudah mendapat pulangan yang cukup lumayan.
Menurut laporan kewangan tahuan yang dikemukan oleh SAJ Holdings kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, keuntungan selepas cukai pada tahun 2013 mencecah RM 73,310,393.00 iaitu tujuh puluh tiga juta ringgit. Kadar keuntungan sebanyak 9%.
Bukan sahaja tahun 2013. Malah, untuk tahun 2012 dan 2011 sebelum ini, keuntungan SAJ Holdings adalah RM 92,809,092.00 dan RM 113,272,969.00 masing-masing. Apakah logiknya harga air masih dibenarkan naik walhal keuntungan sudah begitu lumayan! Saya tidak berhasrat menggunakan bahasa yang kasar tetapi perbuatan SAJ dengan kebenaran Kerajaan Johor dan Persekutan di bawah Barisan Nasional memang bersifat perompak.
Amaran kepada Rakyat Negeri-negeri lain – Adakah bil air akan naik juga?
Rata-rata diketahui rakyat Malaysia Johor adalah negeri besar yang dikurniai Tuhan sumber alam yang kaya termasuk sumber air. Oleh kerana itu negeri jiran seperti Singapura dan Melaka membeli air dari negeri Johor. Negeri Johor merupakan negeri pengeluar air.
Walaupun demikian, rakyat Johorlah yang perlu menanggung harga air yang termahal di seluruh Malaysia. Berbanding dengan Negeri Sembilan yang memang kurang hujan dan negeri Melaka yang tiada sungai yang besar (dan membeli air dari Johor), rakyat Johor membayar bil air yang jauh lebih tinggi (rujuk Jadual 2). Alasan SAJ bahawa kos rawatan dan perniagaan yang semakin meningkat tidak boleh dterima. Negeri Selangor dan Kuala Lumpur sepatutnya mempunyai kos yang tertinggi di Malaysia. Tetapi harga air Johor jauh lebih mahal!
| Johor | Negeri Sembilan | Melaka | Selangor & Kuala Lumpur | ||
| Kadar tarif sekarang (RM/m3) | Kadar tarif baru mulai Ogos 1 2015 (RM/m3) | Kadar tarif sekarang (RM/m3) | Kadar tarif sekarang (RM/m3) | Kadar tarif sekarang (RM/m3) | |
| 0 – 20 m3 | 0.60 | 0.80 | 0.55 | 0.70 | 0.57 |
| 20 – 35 m3 | 1.65 | 2.00 | 0.85 | 1.15 | 1.03 |
| > 35 m3 | 2.96 | 3.00 | 1.40 | 1.75 | 2.00 |
Jadual 2: Perbandingan kadar tarif air domestik antara Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan SAJ, SPAN dan Kerajaan Negeri Johor meningkatkan kadar tarif air pada takat golongan rakyat ditekan pelbagai masalah ekonomi ekoran pelaksanaan cukai GST. Kerajaan harus membatalkan peningkatan ini segera dan memberhentikan tindakan merompak jutaan pengguna air di Johor demi keuntungan ratusan juta syarikat monopoli millikan kroni.