Skip to content

Penjelasan mengenai kadar cukai tanah baru Pulau Pinang

Sebelum menjawab isu-isu serta soalan-soalan berbangkit yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Yang Berhormat (YB) Lim Guan Eng, sekali lagi saya ulangi bahawa kadar cukai tanah baharu adalah dikira berdasarkan empat kriteria iaitu pengelasan tanah sama ada bandar dan desa; keluasan tanah; kegunaan semasa serta kadar yang berkenaan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri sentiasa memantau isu-isu dihadapi pemilik tanah terkesan, yang mana dari semasa ke semasa penambahbaikan akan dilaksanakan terhadap garis panduan pelaksanaan serta rayuan cukai tanah bagi membantu semua pihak menyesuaikan diri dengan ekosistem baharu berkaitan. Berlandaskan ini juga, saya akan mengumumkan keputusan kes-kes rayuan yang diterima Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah seusai Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri pada minggu depan.

Sebagaimana ditekankan berkali-kali dalam kenyataan saya sebelum ini, semua pemilik tanah dinasihati untuk berhubung terus dengan Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing bagi mendapatkan penjelasan serta mengemukakan rayuan perlu, termasuk juga wakil-wakil rakyat khasnya Ahli Parlimen serta ADUN.

Berikut merupakan penjelasan berkenaan isu-isu yang dibangkitkan:-

Persoalan 1: Formula pengiraan dan kelemahan sistem sedia ada termasuk ketidakpekaan pihak Kerajaan.

 

Penjelasan:-

Dakwaan yang tidak berasas sama sekali, dan sebagaimana ditegaskan berkali-kali bahawa Kerajaan Negeri senantiasa mengalu-alukan sebarang maklum balas termasuk rayuan berhubung hal ini.

Persoalan 2: Kenaikan kadar cukai untuk Rumah Pangsa Bola-bola di Raja Uda, Butterworth.

 

Penjelasan:-

Hakmilik tanah bagi Rumah Pangsa Rakyat (PPR) Bola-bola di Raja Uda adalah hakmilik tanah First Grade tanpa kategori dan syarat. Ia merupakan bangunan berbilang tingkat yang masih belum dipecah bahagi dan belum memiliki hakmilik strata. Sekiranya memiliki hakmilik strata, kadar kiraan cukai akan berubah mengikut kadar cukai petak.

Justeru, berdasarkan maklum balas diterima, YB Bagan wajar menasihatkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) supaya menghubungi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) atau Pejabat Tanah bagi menyemak semula kiraan kadar cukai yang boleh diguna pakai mengikut formula diluluskan Kerajaan Negeri.

Persoalan 3: Kadar cukai nominal bagi semua sekolah kerajaan dan persendirian.

Penjelasan:-

Pada Januari 2026, saya telah mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri untuk menetapkan kadar cukai bagi semua sekolah kerajaan dan persendirian di Pulau Pinang pada kadar nominal RM50 setiap lot.

Dengan ini, semua pihak pengurusan sekolah diseru untuk tampil ke Pejabat Tanah bagi mengemas kini maklumat kegunaan tanah berdasarkan sekolah bagi tujuan pemberian kadar cukai nominal.

Persoalan 4: Aduan Dato’ Seri Lim Kai Seng berhubung tanah miliknya yang belum dibangunkan.

 

Penjelasan:-

Sila berhubung terus dengan Pejabat Daerah dan Tanah bagi mendapatkan penjelasan serta kemukakan rayuan perlu.

Sekian, terima kasih.