Skip to content

Perancangan KPKM untuk Memperketat Sistem Import Sayur Disambut Baik dengan Cadangan Memperkenalkan Mekanisme yang Bersasar dan Telus

1. Saya mengalu-alukan pengumuman oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, untuk memulakan perancangan bagi memperketat mekanisme import sayur, termasuk usaha menyesuaikan jumlah import mengikut keperluan sebenar pasaran, bagi melindungi pekebun tempatan, menstabilkan harga sayur tempatan, serta memacu pembangunan sektor pertanian secara keseluruhan.

2. Hakikatnya, harga sayur-sayuran di peringkat kebun kekal rendah selama lebih daripada setahun. Keadaan ini ditambah parah lagi oleh peningkatan kos input pertanian serta lambakan sayur import, sekali gus menambah beban para pekebun.

3. Justeru, langkah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menstruktur semula mekanisme import sayur diyakini dapat membantu menangani ketidakseimbangan antara jumlah import dan keperluan pasaran, serta mewujudkan ekosistem pertanian yang lebih sihat dan mampan.

4. Walaupun import makanan dan sayur-sayuran penting bagi memenuhi keperluan pengguna, kerajaan harus mempertimbangkan pendekatan import yang lebih bersasar, khususnya dengan mengawal import bagi jenis sayur yang hampir mencapai atau melebihi 100% kadar sara diri (SSR). Langkah ini adalah penting bagi mengelakkan lambakan import yang menjejaskan pasaran tempatan, di samping memastikan bahawa pengguna terus menikmati harga yang berpatutan dan kualiti sayur yang baik.

5. Saya mencadangkan agar kelulusan permit import boleh diselaraskan berdasarkan kadar sara diri (SSR) bagi setiap jenis sayur. Sebagai contoh, data yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian menunjukkan bahawa beberapa sayur seperti timun (110.6%), bayam (109.6%), tomato (118%), terung (106.6%) dan kacang panjang (106.6%) telah melebihi 100% kadar SSR. Maka, permit import bagi kategori ini perlu diteliti dengan lebih berhati-hati bagi mengurangkan impak terhadap pasaran tempatan.

6. Kerajaan juga disaran untuk membangunkan mekanisme kawal selia yang lebih dinamik, dan tidak hanya menetapkan kuota kuantiti. Kerjasama dan komunikasi antara jabatan kerajaan, pasaran dan pemain industri perlu diperkukuh, termasuk usaha untuk membangunkan pangkalan data pertanian yang mengandungi maklumat harga pasaran serta penawaran dan permintaan (supply and demand) secara masa nyata (real time) pada jangka masa panjang. Pendekatan ini membolehkan pelarasan import boleh dibuat secara lebih fleksibel, tepat dan bersasar berdasarkan keperluan pasaran.

7. Demi menjamin ketelusan sistem, saya juga mencadangkan agar kerajaan memaparkan maklumat berkenaan dengan pemberian permit import kepada umum, termasuk syarat memohon permit, senarai syarikat yang menerima permit, jumlah import serta jenis sayur yang terlibat.

8. Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan pengguna dan pemain industri terhadap sistem import, malah mampu mengurangkan risiko amalan rent-seeking serta monopoli dalam pasaran.

9. Kerajaan perlu menyeimbangkan antara kepentingan pengguna untuk mendapatkan produk berkualiti pada harga berpatutan dan keperluan melindungi sumber pendapatan pekebun tempatan, demi memastikan kelestarian sektor pertanian serta mencapai matlamat keterjaminan makanan negara.

10. Dalam pada itu, saya turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri KPKM, YB Datuk Chan Foong Hin, atas komitmen dan perhatian serius beliau terhadap pembangunan sektor pertanian, termasuk usaha mengadakan sesi libat urus bersama Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia baru-baru ini bagi memahami cabaran yang dihadapi industri, termasuk kesan konflik di Timur Tengah terhadap rantaian bekalan dan kos pengeluaran.

11. Ketidaktentuan geopolitik global, peningkatan harga diesel, kenaikan harga baja dan risiko kekurangan bekalan baja terus memberi tekanan besar kepada sektor pengeluaran makanan. Oleh itu, sinergi berterusan antara kerajaan dan industri adalah amat penting bagi memastikan kebajikan pekebun terpelihara, menjamin bekalan makanan yang mencukupi, serta mentransformasikan sektor pertanian ke arah yang lebih mampan dan berteknologi tinggi.