Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri baru sahaja mengumumkan angka-angka Banci Penduduk dan Perumahan 2020. Walau bagaimanapun, beliau tidak membentangkannya secara tulus seperti tinjauan tetapi menyelewengkannya untuk agenda politik perkauman.
Perkataan ‘Bumiputra’ tidak terdapat dalam mana-mana undang-undang kita. Undang-undang kita hanya merujuk kepada bangsa Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak, Orang Asli, Cina, India dan lain-lain.
Statistik kumpulan etnik harus dibentangkan mengikut kaum etnik seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang kita. Jumlah penduduk bagi setiap kumpulan etnik hendaklah disenaraikan secara terperinci. Ini penting untuk pelaksanaan dasar kerajaan kita. Kumpulan-kumpulan anak negeri Sabah dan Sarawak harus dikelaskan secara berasingan kerana keperluan mereka berbeza dengan orang Melayu di Semenanjung Malaysia. Orang Melayu di Semenanjung Malaysia ingin melihat dana yang mencukupi diperuntukkan untuk hal-hal berkaitan dengan agama Islam kerana mereka beragama Islam. Akan tetapi, majoriti anak negeri Sabah dan Sarawak adalah bukan Islam dan mereka ingin jumlah dana yang adil dan berpatutan diperuntukkan untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan agama mereka.
Saya juga menyeru Perdana Menteri untuk menjelaskan kenyataan beliau bahawa berdasarkan kumpulan etnik penduduk Malaysia, 69.4% adalah terdiri daripada Bumiputra, 23.2% Cina, 6.7% India dan yang lain 0.7%.
Menurut pengumumannya, daripada jumlah penduduk 32.4 juta orang, rakyat Malaysia berjumlah 29.8 juta atau 91.7% manakala selebihnya bukan warganegara seramai 2.7 juta atau 8.3%.
Jika komposisi etnik yang dinyatakan oleh Perdana Menteri merangkumi keseluruhan 32.4 juta penduduk, maka hampir kesemua 2.7 juta warga asing itu diklasifikasikan sebagai Bumiputera yang jelas tidak boleh diterima.
Rakyat Malaysia sedang menunggu penjelasan daripada Perdana Menteri kita berkenaan dengan perkara-perkara di atas.